Kamus Oxford tambah 11 perkataan harian M’sia

Kamus Oxford tambah 11 perkataan harian M’sia

SINGAPURA, 13 Sept – Selain ‘Char Kway Teow’, ‘Chicken Rice’; ‘Rendang’ juga adalah antara 500 perkataan, ungkapan dan deria yang diiktiraf oleh kamus, Oxford English Dictionary (OED) dalam kemas kini Septembernya.

Terdapat lapan lagi perkataan yang diiktiraf oleh kamus berusia 150 tahun itu, iaitu ‘Aiyah’, ‘Aiyoh’, ‘Ang Pow, ‘Atas’, ‘Balut’, ‘Bodoh’, ‘Kopitiam’, dan ‘Mamak’.

Semua 11 perkataan itu digunakan secara meluas dan mudah difahami oleh kebanyakan daripada lebih 29 juta penduduk multi-etnik di Malaysia.

‘Bodoh’ yang bererti ‘sukar mengerti’ oleh Edisi Keempat Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, tidak disangka diiktiraf oleh OED dan ia dirujuk sebagai kata sifat atau nama.

Dianggap secara meluas sebagai autoriti mengenai Bahasa Inggeris, kamus itu dikemaskini setiap tiga bulan, kemaskini seterusnya pada Disember 2016.

OED merupakan panduan tanpa tandingan dari segi menyediakan makna, sejarah, dan sebutan bunyi 600,000 perkataan — masa lepas dan kini – dari dunia berbahasa Inggeris.

Sebagai sebuah kamus bersejarah, OED amat berbeza daripada kamus-kamus Inggeris masa kini, yang memberi fokus kepada makna semasa.

Edisi pertama kamus itu (1884-1928) diterbitkan dalam 10 naskah dan kemudian, selepas penyelarasan kandungannya, dalam 12 naskah. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA