Kanada benarkan import daging Perancis

Kanada benarkan import daging Perancis

OTTAWA, 25 Mac (AFP) – Kanada akan menahan diri untuk tidak mengharamkan import daging Perancis meskipun kes penyakit lembu gila disahkan di sebuah ladang di negara Eropah itu, menurut Ottawa semalam.

Keputusan dibuat selepas Kementerian Pertanian Perancis berkata satu kes bovine spongiform encephalopathy (BSE) atau penyakit lembu gila ditemui di rantau timur laut Ardennes.

Kanada telah menilai sistem pemeriksaan daging Perancis dan yakin produk-produk itu adalah selamat, Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada memberitahu AFP.

Dengan yang demikian, tidak ada tindakan ke atas import diperlukan pada waktu ini, menurut agensi itu.

Pihak berkuasa Perancis berkata mungkin negara-negara yang tahun lalu membuka semula sempadan mereka untuk eksport daging Perancis – Arab Saudi, Kanada, Singapura dan Vietnam – akan menutupnya lagi, tetapi mereka hanya merupakan jumlah kecil eksport.

Ini adalah kes pertama penyakit lembu gila di Perancis sejak 2011.

BSE adalah penyakit yang merosakkan otak yang mencetuskan ketakutan dalam tahun 1990-an kerana ia boleh berjangkit kepada manusia yang memakan daging yang telah dijangkiti penyakit ini.

Epidemik itu – yang mana Britain adalah tempat bermulanya – dikesan pada penggunaan bangkai-bangkai yang telah dijangkiti yang dikitar semula untuk makanan haiwan, yang mengakibatkan berbelas-belas buah negara menguat kuasakan kawalan veterinar.

Bilangan kes telah menurun, meskipun kes-kes terpencil berterusan.