Kanada-OECD perkasa PKS ASEAN

Kanada-OECD perkasa PKS ASEAN

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Dalam usaha mewujudkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaya saing, berdaya tahan dan inovatif, Kanada sedang bekerjasama dengan negara-negara ASEAN yang merangkumi Brunei dalam Projek Kanada-Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bagi PKS-PKS ASEAN (COPAS)

Kerjasama ini adalah untuk meraih manfaat daripada Komuniti Ekonomi ASEAN yang dilancarkan pada tahun 2015 dan ia dianggarkan bernilai CAD$11.9 juta dalam tempoh lima tahun bermula 2016 hinggalah 2020 yang akan dilaksanakan oleh OECD bagi pihak Kanada.

Pengarah/Kaunselor (Pembangunan) Program Indonesia dan ASEAN di Kedutaan Kanada, Sharon Armstrong menekankan perkara itu ketika ditemu bual wartawan Media Permata hari ini di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Kanada di ibu negara.

Turut hadir pada temu bual itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Marina B. Laker.

Menurut Sharon lagi, Jawatankuasa Penyelaras PKS ASEAN bermesyuarat dua tahun sekali dan pernah mengadakan mesyuarat mengenai perkara itu di sini, manakala mesyuarat akan datang diadakan pada bulan Mei tahun depan di Kuala Lumpur.

Marina B. Laker (kiri) dan Sharon Armstrong ketika temu bual dengan media.
Marina B. Laker (kiri) dan Sharon Armstrong ketika temu bual dengan media.

Menurutnya, wakil Kanada bersama-sama wakil OECD turut menghadiri mesyuarat itu dan menyediakan dokumen dan material berasaskan bukti dan sokongan agar negara-negara ASEAN ini dan kementerian yang bertanggungjawab boleh meneliti apa yang berlaku dalam komuniti mereka sekarang dan mengambil pendekatan amalan terbaik bagi PKS.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan Kanada mahu melihat pemerkasaan dalam ekonomi wanita kerana wanita dan kanak-kanak perempuan adalah sebahagian daripada bantuan pembangunan projek ini terutamanya bagi perniagaan atau pengendalian PKS yang dimiliki wanita.

OECD akan meneliti laporan dan membuat kaji selidik terhadap perkembangan usahawan-usahawan wanita ASEAN ini.

Sharon juga menjelaskan ASEAN dan Kanada merupakan rakan perdagangan dua hala yang penting dan sedang berkembang pesat serta rakan perdagangan ke-6 terbesar bagi Kanada. Untuk itu, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan, PKS merupakan enjin pertumbuhan bagi seluruh ASEAN, tambahnya.

“Salah satu keutamaan kerajaan Kanada adalah untuk terus mengukuhkan hubungan di seluruh dunia. Jadi ASEAN adalah penting kerana apabila ASEAN berkembang dan menjadi lebih kuat dalam pertumbuhan ekonomi dan pembasmian kemiskinan, potensi ASEAN untuk bekerjasama dengan negara-negara lain dan untuk perdagangan dua hala akan terus berkembang.

“Maka adalah signifikan bagi Kanada untuk meneruskan perkongsian yang kukuh dengan ASEAN. Bukan sahaja untuk Kanada menyalurkan kepakaran kepada ASEAN dan membantu mengembangkan serta membangunkan ASEAN, malah untuk potensi perdagangan dua hala,” katanya.

Menurutnya, negara-negara ASEAN perlu meningkatkan usaha dan memberikan penekanan kepada penyampaian maklumat seperti yang disentuh dalam Mesyuarat Dasar Rangkaian Serantau mengenai PKS ke-6 yang diadakan di Jabatan Perdana Menteri di sini kelmarin.

“PKS tidak semestinya mempunyai semua maklumat yang mereka perlukan, contohnya mengenai platform elektronik, kapasiti yang diperlukan untuk beroperasi pada sistem berbeza dan banyak lagi,” katanya.

Pada penghujung temu bual, Sharon menekankan bahawa jika kerajaan negara-negara ASEAN mengambil pendekatan berasaskan bukti dalam penggubalan dasar mereka, maka masyarakat akan mendapat hasil terbaik. Projek dengan OECD ini akan membantu penggubal dasar untuk membuat dasar-dasar berasaskan bukti kukuh yang akan membantu rakyat dan mengembangkan ekonomi negara masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA