Kanak-kanak diberikan vaksin tiruan

Kanak-kanak diberikan vaksin tiruan

JAKARTA, Indonesia, 22 Julai – Satu skandal berhubung vaksin tiruan diberikan kepada kanak-kanak mendorong ibu bapa yang marah dan bingung menyerang seorang doktor di ibu negara Indonesia dalam satu petanda masalah dalam sistem kesihatan negara.

Sejak bulan lalu, bebuli yang diisi dengan larutan bergaram dan antibiotik telah pun ditemui di 37 buah hospital dan klinik di sembilan bandar, menurut Agensi Makanan dan Ubat. Setakat ini, 23 orang telah pun ditahan, termasuk tiga orang doktor. Jumlah kanak-kanak yang terjejas masih disiasat tetapi mungkin besar dalam sebuah negara yang mempunyai lebih daripada 250 juta penduduk.

Presiden Indonesia Joko Widodo pada minggu ini melawat sebuah klinik di mana hampir 170 kanak-kanak divaksin semula. Beliau meminta orang ramai supaya bersabar sementara polis menyiasat “jenayah luar biasa” vaksin tiruan yang didakwa berlaku sejak 2003.

“Kami mengalami krisis sekarang,” kata Dr Aman Bhakti Pulungan, ketua Persatuan Pakar Pediatrik Indonesia. “Ia adalah kecemasan perubatan, dan kami perlu mengatasinya.”

Pegawai perubatan menyediakan suntikan vaksin untuk disuntik kepada kanak-kanak yang pada awalnya menerima suntikan vaksin palsu. – AP
Pegawai perubatan menyediakan suntikan vaksin untuk disuntik kepada kanak-kanak yang pada awalnya menerima suntikan vaksin palsu. – AP

Beliau berkata beliau tidak sedar tentang mana-mana kanak-kanak yang meninggal dunia akibat tidak dilindungi terhadap penyakit yang dipercayai telah divaksin oleh mereka, tetapi menambah kemungkinan beberapa kanak-kanak telah jatuh sakit tanpa dikesan. Vaksin tiruan membabitkan beberapa suntikan yang diberikan secara rutin kepada kanak-kanak, termasuk untuk campak, batuk kering, hepatitis dan dipteria.

Produk tiruan itu dilabel sebagai jenama import, kata Pulungan. Beliau percaya jumlah kanak-kanak yang terjejas adalah kecil, memandangkan hanya 1 peratus daripada vaksin diberikan di seluruh negara adalah diimport. Kerajaan mulai memberikan semula vaksin secara percuma kepada kanak-kanak yang terjejas di hospital dan klinik, termasuk 14 di ibu negara Jakarta dan pinggir bandar.

Gambar televisyen tempatan pada minggu ini menunjukkan sekumpulan ibu bapa marah di Hospital Harapan Bunda di timur Jakarta bertengkar dengan seorang doktor dan seterusnya menumbuk dan meludah pada mukanya sebelum pegawai keselamatan meleraikan pertengkaran itu. Ibu bapa lain mengadu kepada anggota parlimen dan menuntut bantuan diberikan.

Jane Soepardi, pengarah Pengawasan, Kuarantin Kesihatan dan Epidemiologi di Kementerian Kesihatan berkata hari ini kerajaan menganggarkan kira-kira 5,000 daripada 4.8 juta kanak-kanak yang disasar divaksin pada tahun ini telah menerima vaksin tiruan. – AP

ARTIKEL YANG SAMA