Kanak-kanak dilarikan dibawa pulang

Kanak-kanak dilarikan dibawa pulang

KUCHING, 29 Mac (Bernama) – Selepas hilang lebih 24 jam, seorang kanak-kanak yang dipercayai dilarikan berhampiran Bangunan Mara di Plaza Astana dekat sini semalam dikembalikan kepada keluarganya petang tadi.

Nenek kepada Haiqal Hakimi Suhini, 7, Ubai Mohammad, 56, berkata cucunya dikembalikan ke rumahnya di Kampung Tupong Ulu Baru oleh seorang lelaki yang menaiki motosikal.

“Dalam pukul 2 atau tiga petang tadi, masa mak cik sedang melipat baju, lelaki itu datang menghantar cucu mak cik. Mak cik rasa sangat gembira.

“Lelaki tu cakap dia jumpa cucu mak cik di tepi jalan dan bawa dia pulang ke rumahnya. Mak cik amat bersyukur cucu mak cik selamat. Terima kasih juga kepada semua yang tolong mencari termasuk polis dan orang ramai,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata cucunya memaklumkan semasa berada di rumah lelaki tersebut, dia dijaga dengan baik dan turut diberi main permainan video.

“Masa serahkan cucu mak cik tadi, lelaki itu ada bagi beberapa helai pakaian dan satu patung harimau,” kata Ubai.

Sementara itu bapa kanak-kanak itu, Suhini Abdullah, 36, yang tiada di rumah semasa lelaki tersebut menghantar anaknya merasa bersyukur.