Kanak-kanak ditemui separuh mati

Kanak-kanak ditemui separuh mati

VIENNA, 31 Ogos (Reuters) – Tiga kanak-kanak ditemui separuh mati antara 26 pelarian Syria, Afghanistan dan Bangladesh yang ditemui dalam satu lagi van membawa penghijrah di Austria, lewat kelmarin.

Kanak-kanak terbabit – dua perempuan dan seorang lelaki berusia lima serta enam tahun – dalam keadaan nyah hidrat teruk selepas pihak berkuasa yang mengejar van berkenaan berjaya menghentikannya di pekan St Peter am Hart di sempadan Jerman, kata jurucakap polis David Furtner.

Katanya, mereka kini mendapat rawatan di hospital.

“Doktor berkata, kanak-kanak itu bernasib baik. Jika tidak diselamatkan dalam dua atau tiga jam mereka mungkin maut,” katanya.

Kejadian ini rentetan penemuan 71 mayat pelarian termasuk tiga kanak-kanak dan seorang bayi – dalam lori yang ditinggalkan di tepi lebuh raya Khamis lalu.

Pusat forensik di mana 71 penghijrah yang telah mati sebelum ini diperiksa. – AFP
Pusat forensik di mana 71 penghijrah yang telah mati sebelum ini diperiksa. – AFP

Pertubuhan Antarabangsa Migrasi (IOM) menganggarkan sepertiga daripada sejuta orang menyeberangi Laut Mediterranean sejak awal tahun ini dari Libya, Turki dan negara lain untuk memasuki Eropah.

Ratusan mati lemas selepas kapal dinaiki karam, namun kematian di darat yang dilaporkan baru-baru ini menimbulkan kebimbangan baru terhadap kekejaman sindiket penyeludupan manusia.

Merujuk kejadian terbaru, Furtner berkata: “Pemandu van itu tidak pedulikan langsung keadaan orang dibawanya.

“Sedangkan kita tidak sanggup membawa haiwan sekalipun dalam keadaan sedemikian di negara ini.”

Sementara itu, pemandu warga Romania berusia 29 tahun ditangkap.

Sebelum ini pihak berkuasa Hungary menahan tiga rakyat Bulgaria dan seorang Afghanistan berhubung kejadian Khamis lalu sebelum dihadapkan ke mahkamah, Sabtu lalu. Semuanya mengaku tidak bersalah.

Kerajaan Austria mungkin akan membuat permohonan ekstradisi untuk membolehkan kes mereka dibicarakan di situ.Suspek kelima, lelaki Bulgaria juga ditahan lewat Sabtu berhubung kejadian itu.

Semuanya dipercayai anggota geng penyeludup manusia yang digunakan puluhan ribu pelarian untuk memasuki Kesatuan Eropah.

Menurut pendakwa kes itu, lori membawa 71 penghijrah berkenaan meninggalkan Keckskemt dan mengambil mangsa di sempadan dengan Serbia sebelum membawa mereka ke Austria.

Polis kini cuba mengenal pasti semua mangsa dengan memeriksa telefon bimbit ditemui pada mayat mereka. Mayat berkenaan dipercayai dibiarkan sehingga dua hari sebelum ditemui.