Kanak-kanak istimewa SOBD diraikan

Kanak-kanak istimewa SOBD diraikan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Lebih 40 kanak-kanak istimewa daripada Persatuan Olimpik Khas Negara Brunei Darussalam (SOBD) bersama-sama ibu bapa mereka diraikan hari ini sempena sambutan memperingati pengasas Olimpik Khas, iaitu Hari Eunice Kennedy Shriver Sedunia Keenam di Dewan Serbaguna Pusat Kesihatan Fitness Zone di Kiulap.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Agung SOBD, Dayang Wati binti Haji Bujang dan serentak dengan sambutan itu juga telah diadakan acara Bola Keranjang Unified SOBD yang ketiga.

Dalam ucapannya beliau berkata, matlamat Olimpik Khas adalah untuk menyediakan latihan kesukanan sepanjang tahun dan menganjurkan kejohanan dalam pelbagai disiplin sukan bagi kanak-kanak dan orang dewasa yang menghadapi ketidakupayaan intelektual.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Fitness Zone dan Bake Culture, Wu Chun yang berkata, kedua-dua syarikat miliknya itu bekerjasama dengan SOBD untuk menganjurkan aktiviti itu yang diharap melaluinya dapat memperbaiki lagi kehidupan atlet istimewa melalui penglibatan mereka dalam aktiviti kesukanan.

Penganjuran aktiviti berkaitan itu juga dapat memberikan peluang yang berterusan untuk mengembangkan kecergasan fizikal, mempamerkan keberanian, mengalami detik keseronokan dan perasaan gembira dapat menyertai sesuatu acara untuk berkongsi hadiah, kemahiran dan persahabatan dengan anggota keluarga serta atlet Olimpik khas yang lain.

Wu Chun bergambar bersama atlet dan ibu bapa mereka.
Wu Chun bergambar bersama atlet dan ibu bapa mereka.

Katanya, bagi sambutan tahun ini Pusat Kesihatan Fitness Zone dan Shooting Stars BN telah memberikan sokongan dengan menganjurkan Permainan Kemahiran Bola Keranjang Unified bagi memperingati pengasas sukan Olimpik Khas itu.

Beliau mengucapkan rasa terima kasih kepada Pasukan Shooting Stars BN dan jurulatih mereka yang telah bertungkus-lumus mengendalikan Sesi Latihan Bola Keranjang Unified untuk atlet istimewa SOBD sebanyak dua kali sebulan.

Pada majlis itu, atlet istimewa dilatih dan diuji pelbagai kemahiran asas bola keranjang seperti melontar bola ke jaring, melontar bola ke sasaran mendatar dan berlari sambil mengelak halangan.Para peserta dan ibu bapa mereka juga dijamu dengan makanan dan minuman seperti roti ban istimewa yang disumbangkan oleh Kedai Roti Bake Culture.

ARTIKEL YANG SAMA