Kanak-kanak jatuh eskalator, ibu bapa berdepan tindakan

Kanak-kanak jatuh eskalator, ibu bapa berdepan tindakan

PUTRAJAYA, 18 Okt – Ibu bapa kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, yang terjatuh daripada eskalator di sebuah kompleks beli-belah di Bukit Jambul, Pulau Pinang, boleh dikenakan tindakan kerana kecuaian.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata tindakan itu boleh diambil mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendatangkan kecederaan fizikal, yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata pihaknya sedang menunggu hasil siasatan polis berhubung insiden yang menimpa kanak-kanak itu pada Ahad lepas sebelum berbincang dengan Pengarah Bahagian Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut.

“Pelbagai peringatan dan amaran diberikan termasuk hebahan di media agar lebih berhati-hati ketika menggunakan eskalator namun, kejadianseperti ini masih berlaku. “Tujuan (tindakan) bukan menghukum ibu bapa tetapi sebagai pencegahan dan kesedaran agar semua memandang serius perkara ini dan mengambil iktibar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Penasihat dan Perunding Wanita (MPPW) di sini, hari ini.

Rohani berkata sebelum ini, tindakan undang-undang juga diambil terhadap ibu bapa cuai khususnya kes membabitkan kanak-kanak yang ditingalkan di dalam kenderaan tetapi ia tidak dihebahkan.

Dalam kejadian Ahad lepas, kanak-kanak perempuan itu yang didakwa diletakkan di bahu bapanya, terjatuh daripada eskalator kompleks berkenaan menyebabkan tempurung kepalanya retak dan mengalami pendarahan dalam kepala. Kejadian itu berlaku apabila bapa mangsa, yang sedang menaiki tangga eskalator untuk ke tingkat satu, panik dan menundukkan kepalanya ketika cuba membantu anak sulungnya itu yang dikatakan tersepit tangannya di getah pemegang eskalator. – Bernama