Kanak-kanak OKU perlu diberi perhatian

Kanak-kanak OKU perlu diberi perhatian

TAWAU, 13 Julai – Kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) perlu dihargai dan diberikan perhatian kerana golongan itu turut mempunyai potensi untuk berjaya dengan cara mereka sendiri.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata kerajaan tidak pernah melupakan kewujudan golongan kanak-kanak OKU dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk dalam aspek pendidikan.

Berucap pada Majlis Lawatan Amal di Taman Didikan Sri Stella di sini hari ini, Jainab berkata Sri Stella adalah antara tempat asuhan berkonsep pendidikan untuk golongan OKU yang berumur di bawah 14 tahun bagi memberi kehidupan dan peluang pembelajaran untuk mereka menyerlahkan potensi.

Pada masa ini, seramai 16 lelaki dan tujuh perempuan menghuni pusat itu.

Sri Stella adalah satu daripada sembilan institusi seumpamanya di Sabah yang dikelolakan oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am negeri.

Majlis lawatan amal itu diadakan sempena Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong peringkat Sabah.

Turut hadir isteri Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlida R.M Jasni. – Bernama