Kanak-kanak, remaja obes meningkat

GENEVA, 11 Okt – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa populasi kanak-kanak dan remaja obes di seluruh dunia telah meningkat 10 kali ganda dalam tempoh empat dekad serta krisis kesihatan global itu mungkin bertambah buruk melainkan beberapa tindakan drastik diambil, lapor agensi berita China Xinhua.

WHO, yang melakukan kajian terkini berkaitan obesiti kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia bersama Kolej Imperial London, telah mendedahkannya pada Hari Obesiti Sedunia. Kajian itu turut disiarkan oleh jurnal perubatan The Lancet.

Ia menganalisis ukuran berat dan tinggi hampir 130 juta kanak-kanak berusia lima tahun dan lebih termasuk 31.5 juta dalam lingkungan usia lima hingga 19 tahun, serta 97.4 juta berusia 20 tahun dan lebih, sekali gus menjadikan bilangan peserta kajian itu adalah yang terbesar dalam satu kajian epidemiologi.

Sementara itu, lebih 1,000 penyumbang mengambil bahagian dalam kajian yang meneliti indeks jisim badan dan bagaimana obesiti berubah di seluruh dunia dari 1975 hingga 2016.

Statistik menunjukkan bahawa kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja meningkat daripada kurang 1 peratus, atau kira-kira 5 juta kanak-kanak perempuan dan 6 juta kanak-kanak lelaki pada 1975, kepada hampir 6 peratus bagi kanak-kanak perempuan (50 juta) dan hampir 8 peratus bagi kanak-kanak perempuan (74 juta) pada 2016.

Apabila digabungkan, jumlah mereka yang obes berusia lingkungan lima hingga 19 tahun meningkat lebih 10 kali ganda di seluruh dunia, iaitu daripada 11 juta pada 1975 kepada 124 juta pada 2016, manakala sejumlah 213 juta orang didapati memiliki berat badan berlebihan pada 2016 namun bawah sedikit daripada paras obesiti.

“Trend yang membimbangkan ini menggambarkan kesan pemasaran dan polisi makanan di seluruh dunia,” kata Profesor Majid Ezzati dari Fakulti Kesihatan Awam di Kolej Imperial London, yang merupakan penulis utama kajian.

Beliau berkata makanan sihat dan berkhasiat kini terlalu mahal bagi keluarga dan masyarakat miskin. Oleh itu, beliau mendesak agar lebih banyak makanan sihat dan berkhasiat disediakan di rumah dan sekolah terutama kepada keluarga dan masyarakat yang miskin.

Prof Ezzati turut meminta agar peraturan dan cukai bagi melindungi kanak-kanak daripada makanan tidak sihat dilaksanakan, jika tidak generasi kanak-kanak atau remaja pada masa depan yang obes ketika membesar bakal berdepan risiko lebih besar seperti menghidap penyakit kencing manis.

Kajian itu meramalkan bahawa jika trend ini berterusan, menjelang tahun 2020, tahap kanak-kanak dan remaja obes akan melepasi mereka yang memiliki berat badan sederhana dan kurang berat badan daripada kumpulan umur yang sama.

“Data ini mengetengahkan, mengingat serta menekankan bahawa berat badan berlebihan dan obesiti adalah satu krisis kesihatan global pada masa ini, dan berkemungkinan menjadi semakin buruk pada tahun-tahun akan datang melainkan kita mula mengambil langkah drastik,” kata Dr Fiona Bull, koordinator program pemantauan dan pencegahan berdasarkan populasi bagi penyakit tak menular di WHO.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, WHO telah mengeluarkan satu rumusan Pelan Pelaksanaan bagi Menghentikan Obesiti Kanak-Kanak, yang menawarkan panduan jelas bagi membendung obesiti kanak-kanak dan remaja kepada negara di seluruh dunia.

Panduan utama WHO ialah menggalakkan pengambilan makanan sihat dan aktiviti fizikal diikuti penjagaan sebelum dan semasa mengandung, diet awal kanak-kanak serta aktiviti fizikal, kesihatan dan makanan berkhasiat untuk kanak-kanak bersekolah, serta pengurusan berat badan.

Negara terbabit harus memfokus kepada “pengurangan pengambilan makanan yang murah, makanan yang diproses keterlaluan, berkalori tinggi dan kurang berzat,” selain “masa yang dihabiskan kanak-kanak untuk menghadap skrin gajet dan aktiviti masa lapang setempat dengan menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam aktiviti fizikal menerusi rekreasi aktif dan sukan,” kata Dr Bull.  – Bernama