Kanak-kanak TASKA Yayasan diraikan

Kanak-kanak TASKA Yayasan diraikan

Oleh Siti Nur Wasimah S & Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Taman Asuhan Kanak-Kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (TASKA YSHHB), hari ini, telah meraikan seramai 412 orang kanak-kanak TASKA 2 dan 3 dalam Majlis Mini Konsert dan Penyampaian Hadiah serta Sijil-sijil Akademik Dewan TASKA YSHHB.

Majlis telah diadakan dalam dua sesi, iaitu pagi bagi seramai 215 orang kanak-kanak TASKA 2 dan petang bagi seramai 197 orang kanak-kanak TASKA 3.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada sebelah petang ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang juga selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB, manakala itu Penolong Pengarah Urusan 2 YSHHB, Haji Puasa bin Haji Jumat hadir menyampaikan sijil kepada kanak-kanak cemerlang pada sebelah pagi.

Majlis berkenaan telah diserikan dengan konsert mini oleh kanak-kanak TASKA tersebut dan antara yang menyertai persembahan pada sebelah pagi ialah cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.

Pemangku Pengetua TASKA YSHHB, Hajah Zainab binti Haji Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan mengenai kaedah pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid di TASKA yang menurutnya lebih menjurus kepada dapatan penyelidikan pendidikan awal kanak-kanak antarabangsa yang mendapat perhatian pakar dan pengamal pendidikan awal kanak-kanak di negara maju.

Dato Paduka Dr. Haji Affendy menyampaikan sijil kepada kanak-kanak yang diraikan.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy menyampaikan sijil kepada kanak-kanak yang diraikan.

Salah seorang kanak-kanak TASKA YSHHB menerima hadiah dan sijil daripada Haji Puasa.
Salah seorang kanak-kanak TASKA YSHHB menerima hadiah dan sijil daripada Haji Puasa.

“Pendekatan ini ialah pendekatan pembelajaran berasaskan bermain yang pihak TASKA percaya dapat memberikan hasil yang berkesan kepada pembelajaran murid-murid mengambil kira sifat kanak-kanak yang sentiasa suka bermain,” tambahnya.

Bukan setakat itu, jelasnya lagi, kaedah belajar sambil bermain ini didapati lebih mendatangkan kesan positif kerana ia dapat menarik perhatian murid-murid dengan keadaan sekeliling yang kondusif dan menyeronokkan.

Selain itu, aktiviti yang diberikan juga menekankan kepada konsep penemuan dan pengalaman langsung dan berasaskan projek.

Cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna adalah antara yang menyertai dalam persembahan tersebut.
Cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna adalah antara yang menyertai dalam persembahan tersebut.
Persembahan mencuit hati kanak-kanak TASKA dengan mengenakan pakaian bertema The Jungle Book.
Persembahan mencuit hati kanak-kanak TASKA dengan mengenakan pakaian bertema The Jungle Book.

Pendekatan ini, tambah beliau lagi, juga dapat menanamkan ciri-ciri lain seperti kerja berpasukan, sosialisasi, kepimpinan dan lainnya yang secara tidak langsung memberikan pengalaman pembelajaran yang holistik yang mana pendekatan ini dilaksanakan secara berfasa mengikut peringkat murid TASKA.

Ke arah memastikan pendekatan ini dilaksanakan dengan teratur dan berkesan, jelas beliau, TASKA telah mengusahakan pelbagai bentuk latihan kepada guru-guru dan pembantu guru sejak tahun 2015 hingga kini.

Setakat ini, tenaga pengajar di TASKA dapat mendalami pengetahuan dan kepakaran mereka untuk menggunakan pendekatan ini dalam pengajaran mereka, tambahnya lagi.

Majlis tersebut antara lain bertujuan memberikan pendedahan kepada kanak-kanak TASKA untuk meningkatkan keyakinan diri masing-masing selain memberikan penghargaan kepada mereka atas usaha dan kegigihan dalam bidang akademik.

Di samping itu, ia juga dihasratkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara ibu bapa dan penjaga bersama warga TASKA serta memperlihatkan kebolehan anak-anak mereka mengikuti persembahan.

ARTIKEL YANG SAMA