Kancil berlumba dengan siput pikat hati juri

Kancil berlumba dengan siput pikat hati juri

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Kepetahan bercerita ditambah penghayatan penyampaian jalan cerita ‘Kancil berlumba dengan siput’ berjaya memikat hati para juri sekali gus membawa tuah kepada Muhammad Amin Wa’ie bin Mohamad Firman yang diumumkan sebagai juara Peraduan Mari Bercerita Peringkat Negara 2016 hari ini.

Beliau yang merupakan murid Tahun 3 Sekolah Rendah Dato Ratna Haji Muhd Jaafar Kiarong membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak $600 berserta piala dan sijil penyertaan.

Manakala itu, tempat kedua dimenangi oleh murid dari Sekolah Rendah Raja Isteri Fatimah, iaitu Ainaa Zunah Insyirah binti Haji Abdul Manap dengan cerita bertajuk ‘Si Pengail dengan Rantai Emas’ dan Siti Khadijah binti Mohammad Asnawi dengan tajuk cerita Mayang Sari dengan Si Ibu Tiri menduduki tempat ketiga, yang mana masing-masing menerima wang tunai $500 dan $400 berserta piala dan sijil penyertaan.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Dewan Raya Radio Televisyen Brunei, di ibu negara, hari ini.

Pemangku Pengarah DBP, Hajah Nortijah binti Haji Mohd Hassan semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya menjelaskan, seramai 144 orang murid dari keempat-empat daerah yang berusia lapan hingga 12 tahun menyertai peraduan ini yang dijalankan secara berperingkat-peringkat.

Para pemenang bergambar ramai bersama Datin Paduka Dr. Hajah Norlila selepas peraduan itu.
Para pemenang bergambar ramai bersama Datin Paduka Dr. Hajah Norlila selepas peraduan itu.

“Pada tahun ini, murid yang menyertai peraduan ini diubah kepada umur dari lapan hingga 12 tahun bukan seperti sebelumnya iaitu bermula dari sembilan hingga 12 tahun.

“Ini kerana saranan dari ibu bapa dan guru-guru yang mana murid-murid berumur lapan tahun sudah berani dan berkemampuan untuk menyampaikan cerita,” jelas beliau.

Peraduan ini, ujarnya, secara tidak langsung berfungsi sebagai platform bagi membangunkan psikologi positif, mendorong perkembangan kognitif dan psikomotor peserta dalam memaparkan potensi dan kebolehan mereka dan berekspresi mengikut konteks cerita yang diketengahkan.

Di samping itu, ia juga sebagai pentas bagi jabatan memasyarakatkan kearifan tempatan yang diketengahkan dalam buku cerita rakyat atau cerita binatang yang bermatlamat untuk menekankan pendidikan moral, pembentukan keperibadian, pengajaran dan teladan baik yang berguna kepada mereka.

“Peraduan yang diadakan setiap tahun ini menunjukkan peningkatan dalam penyampaian cerita yang mana murid bukan saja menyampaikan cerita bersama dengan prop yang ada di pentas tapi mengaplikasikan penggunaan IT untuk menambahkan keberkesanan penyampaian cerita,” tambahnya.

Peraduan diserikan dengan persembahan pentas oleh murid Sekolah Rendah Kampung Rataie, Temburong.

Peraduan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), KKBS itu antara lain bertujuan untuk memupuk semangat membaca sekali gus memasyarakatkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak.

Selain menjadikan cerita sebagai sumber imaginasi dan inspirasi cara menjana kreativiti semasa menyampaikan cerita.

ARTIKEL YANG SAMA