Kandungan pen drive kontroversi mungkin jadi tatapan umum

Kandungan pen drive kontroversi mungkin jadi tatapan umum

PUTRAJAYA, 2 Sept – Isi kandungan pemacu pena kontroversi yang didakwa mengandungi laporan penyelewengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin akan menjadi bahan tatapan umum, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.Katanya beliau telah memohon kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendedahkan kandungan laporan itu sama ada terdapat penyelewengan atau sebaliknya selepas siasatan oleh suruhanjaya tersebut selesai.

“Oleh kerana ia merupakan kes kepentingan umum dan disebabkan pelbagai andaian telah dibuat mengenai kandungannya, saya mencadangkan kepada SPRM untuk menjadikannya sebagai bahan tatapan umum.

“SPRM meminta saya memberikan mereka sedikit masa untuk meneliti kandungan tersebut secara terperinci dan menyelesaikan siasatan terlebih dahulu sebelum membenarkan kandungan pen drive disebarkan,” katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Terdahulu, Khairy menyerahkan pemacu pena beserta senaskah salinan kandungan laporan setebal 279 muka surat kepada Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Khairy berkata pen drive serta naskah yang diserahkan itu merupakan bahan asal sepertimana yang diterimanya daripada Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 26 Ogos lepas.

Beliau berkata tiada sebarang pengesahan dibuat olehnya kepada SPRM sama ada kandungan pemacu pena itu mempunyai kaitan dengan individu tertentu di dalam FAM atau wujudnya penyelewengan seperti andaian ramai.

“Hari ini saya tidak sahkan apa-apa mengenai perkara tersebut dan pemacu pena itu kini telah menjadi bahan bukti dan saya menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM selaku pihak bertanggungjawab mengenai rasuah untuk menjalankan siasatan sama ada wujud unsur seperti yang didakwa,” katanya dan menambah tiada tempoh masa diberikan SPRM bila siasatan mereka akan berkahir.Sambil mengulangi kenyataannya bahawa kandungan laporan itu hanya berkaitan soal teknikal bola sepak negara, Khairy berkata beliau sedia memberi keterangan sekiranya diperlukan selain memaklumkan daripada siapa dan bila pemacu pena itu diterimanya.

Ditanya sama ada Tunku Ismail bersetuju dengan tindakannya menyerahkan pemacu pena itu kepada SPRM, Khairy berkata pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menyerahkan sepenuhnya kepada beliau untuk melakukan sebarang tindakan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA