Kandungan TPPA akan dibentang kepada rakyat

Kandungan TPPA akan dibentang kepada rakyat

MELAKA, 3 Nov (Bernama) – Isi kandungan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan dibentangkan kepada rakyat dalam tempoh dua minggu lagi, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan. Beliau berkata kerajaan telah menyelesaikan proses rundingan TPPA itu dengan pihak terlibat dan langkah seterusnya ialah membentangkan butiran perjanjian tersebut kepada rakyat.

Selepas itu, kerajaan akan membawanya ke Parlimen pada satu persidangan khas pada Januari tahun depan bagi membolehkan perjanjian berkenaan dibahas dan kemudian diundi kelulusannya oleh 222 anggota parlimen.

Terdahulu, beliau melawat Pejabat Cawangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Negeri Melaka, yang turut dihadiri Exco Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa Melaka, Datuk Lim Ban Hong.

Rundingan TPPA yang pertama kali diadakan pada 2005 melibatkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, Vietnam dan Malaysia.

Ong berkata TPPA tidak akan memberi kesan langsung kepada kenaikan harga barang di negara ini kerana kemasukan barangan dari luar negara melalui perdagangan bebas TPPA itu akan memberikan lebih banyak pilihan barangan kepada rakyat.