Kane antara pemain paling bernilai

Kane antara pemain paling bernilai

LONDON, 7 Jan – Kemampuan mempamerkan corak permainan menarik, meletakkan bintang Tottenham Hotspur, Harry Kane dalam senarai lima pemain paling bernilai dalam saingan liga di Eropah, menurut CIES Football Observatory.

Agensi itu mengeluarkan senarai membabitkan 100 pemain dengan nilai perpindahan tertinggi yang merangkumi saingan liga di England, Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol.

Senarai itu dihasilkan menerusi satu model ekonometri oleh sepasukan penyelidikan CIES Football Observatory daripada lebih 1,500 analisis berkenaan bayaran perpindahan sejak 2010.

Kriteria diambil kira merujuk kepada dua aspek termasuk prestasi dan karektor seorang pemain, seperti umur, posisi dan tempoh kontrak, serta kekuatan kelab atau pasukan antarabangsa mereka berdasarkan tahap persaingan dan keputusan.

Berdasarkan faktor itu, Kane dinilai berada di kedudukan kelima di belakang dua bintang Barcelona Lionel Messi dan Neymar yang mengungguli dua tempat teratas selain pemain Chelsea, Eden Hazard dan Real Madrid, Cristiano Ronaldo di tempat ketiga dan keempat.

Harry Kane (kiri) yang tersenarai dalam lima pemain paling bernilai di Eropah. – Reuters
Harry Kane (kiri) yang tersenarai dalam lima pemain paling bernilai di Eropah. – Reuters

Kane bernilai STG 67 juta selepas mengharungi musim cemerlang pada 2015 bersama Tottenham dan England.

Pemain berusia 22 tahun itu menjaringkan 29 gol untuk skuad Spurs dalam semua pertandingan dan menamatkan kedudukan di tempat kelima dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Pencapaian Kane bersama skuad London Utara itu membolehkannya tampil buat kali pertama dengan pasukan England menentang Lithuania pada Mac yang menyaksikan dia mencatat sejarah selepas menyumbang satu gol ketika kemenangan 4-0 mereka di Wembley.

Penyerang Barca, Messi mendahului senarai dengan CIES Football Observatory meletakkan nilainya pada STG185 juta.

Kontrak pemain berusia 28 tahun akan tamat pada 2018 di Nou Camp dan penyerang lincah itu memainkan peranan utama dalam skuad Luis Enrique untuk mereka memenangi lima gelaran pada tahun 2015.

Rakan sepasukan Messi, Neymar di tempat kedua dengan nilai STG113 juta dan kontrak pemain berusia 24 tahun itu juga akan tamat pada 2018. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA