Kane dapat kontrak termahal Spurs

Kane dapat kontrak termahal Spurs

LONDON, 6 Mei (Agensi) – Tottenham Hotspur sudah bersedia menjadikan Harry Kane sebagai pemain yang menerima gaji paling tinggi dalam sejarah kelab itu.

Penyerang berusia 22 tahun itu dijangka menandatangani kontrak baharu yang menyaksikan gajinya meningkat dua kali ganda daripada 50,000 pound seminggu kepada 100,000 pound.

Pada Februari lalu, Kane menandatangani kontrak selama lima tahun bersama Spurs.

Bagaimanapun, selepas menjaringkan 31 gol musim lalu dan 28 lagi musim ini, dia pasti akan menerima ganjaran daripada Spurs di atas kerja kerasnya.

Sementara itu, pengurus Spurs, Mauricio Pochettino secara lisan sudah bersetuju untuk menandatangani kontrak selama lima tahun dan beberapa pemain utama dijangka mengikut jejak langkahnya.

Harry Kane merupakan pemain yang menerima gaji paling tinggi dalam sejarah kelab Tottenham Hotspur. – AP
Harry Kane merupakan pemain yang menerima gaji paling tinggi dalam sejarah kelab Tottenham Hotspur. – AP

Pemain tengah, Christian Eriksen dijangka menandatangani kontrak selama empat tahun setengah yang bakal menyaksikan dia menerima gaji sebanyak 80,000 pound seminggu.

Perbincangan juga sudah dijalankan Spurs bersama pemain tengah Argentina, Erik Lamela yang kini berada pada tahap prestasi terbaiknya selepas bergelut dengan aksi tidak menentu dalam dua musim sebelum ini di White Hart Lane.

Dele Alli, 20, dan Eric Dier, 22, yang mempunyai kontrak jangka panjang bersama Spurs dan menerima gaji sebanyak 25,000 pound seminggu turut dijangka menerima kenaikan pada gaji mereka.

ARTIKEL YANG SAMA