Kane penjaring terbanyak EPL

Kane penjaring terbanyak EPL

LONDON, 21 Mac (Reuters) – Penyerang England, Harry Kane melonjak ke tangga teratas senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim ini apabila meledak dua gol bagi membantu Tottenham Hotspur menewaskan Bournemouth 3-0, awal pagi tadi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Spurs terus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Leicester City dalam misi memburu kejuaraan musim ini.

Berdepan dengan perbezaan lapan mata di belakang Leicester sebelum aksi di White Hart Lane bermula, Spurs sedar mereka tidak boleh keciciran mata bagi terus menyalakan impian merangkul gelaran juara buat kali pertama sejak 1961.

Spurs hanya memerlukan 44 saat selepas perlawanan bermula apabila Kane berjaya menyempurnakan hantaran lintang Kyle Walker untuk gol pertama sebelum dia sekali lagi membuktikan ketajaman sentuhannya dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-16.

Aksi Kane selepas berjaya menjaring gol pertama buat Tottenham ketika menentang Bournemouth di White Hart Lane. Kane melonjak ke tangga teratas senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim ini apabila mencetak dua gol pada perlawanan tersebut. – Reuters
Aksi Kane selepas berjaya menjaring gol pertama buat Tottenham ketika menentang Bournemouth di White Hart Lane. Kane melonjak ke tangga teratas senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim ini apabila mencetak dua gol pada perlawanan tersebut. – Reuters

Satu lagi gol Spurs dijaringkan Christian Eriksen pada minit ke-52. Kane kini sudah merekodkan 21 gol, dua gol mengatasi penyerang Leicester, Jamie Vardy yang akan bersamanya bagi memperkuatkan jentera serangan England untuk tugasan antarabangsa, minggu depan.

“Saya lebih rela dibezakan lima mata tetapi dengan Leicester biasanya bermain lebih awal berbanding kami, jadi kami tahu apa yang perlu dilakukan.

“Masih ada banyak lagi mata yang boleh dikutip,” kata Kane yang menjadi penyerang Spurs pertama menjarinkan lebih 20 gol dalam tempoh 45 tahun.

Sementara itu, pengurus Spurs, Mauricio Pochettino memuji aksi cemerlang dipamerkan Kane.

“Prestasinya sangat menakjubkan, dia seorang pejuang dan mempunyai kemahiran yang tinggi,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA