Kane, Vardy setaraf Aguero – Mauricio

Kane, Vardy setaraf Aguero – Mauricio

LONDON, 5 Feb – Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino percaya penyerangnya, Harry Kane dan peledak Leicester City, Jamie Vardy setaraf penggempur berbahaya Manchester City, Sergio Aguero.

Vardy ketika ini mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 18 gol selain membantu Leicester menduduki puncak liga, manakala Harry kedua dengan mengumpul 15 gol.

Aguero yang juga penjaring terbanyak tahun lalu dengan 26 gol dibayangi masalah kecederaan musim ini, namun kedudukannya sebagai antara penyerang terbaik dunia, belum terjejas.

Sekalipun kurang bermain lebih daripada 800 minit berbanding Vardy dan Kane musim ini, Aguero masih mampu menyumbat 13 gol termasuk lima dalam tiga perlawanan terakhirnya.

“Hari ini Vardy dan Kane menunjukkan kualiti yang hebat, sama kualiti dengan Aguero,” kata Pochettino kepada wartawan.

Mauricio ketika menyaksikan perlawanan antara pasukannya menentang Colchester United. Mauricio percaya Harry Kane dan Jamie Vardy setaraf penggempur berbahaya Manchester City, Sergio Aguero. – Reuters
Mauricio ketika menyaksikan perlawanan antara pasukannya menentang Colchester United. Mauricio percaya Harry Kane dan Jamie Vardy setaraf penggempur berbahaya Manchester City, Sergio Aguero. – Reuters

“Mereka berbeza dan datang daripada keadaan yang berbeza, namun hari ini Vardy dan Kane adalah setaraf dengan Aguero.”

Pochettino dalam pada itu tidak begitu bimbang dengan keadaan pemainnya, Dele Alli yang terpaksa digantikan pada babak kedua perlawanan menentang Norwich Ciy, Selasa lalu yang berakhir dengan kemenangan 3-0.

Begitupun, pengurus kelahiran Argentina itu tetap berharap pemain tengah berusia 19 tahun itu mampu cergas sepenuhnya menjelang aksi bertemu Watford, esok.

“Kami tidak tahu mengapa dia pening. Kami tidak begitu bimbang, kami hanya perlu membantunya untuk mendapatkan penjelasan, namun ia bukanlah masalah yang besar,” katanya.

Tottenham ketika ini menghuni tangga ketiga EPL, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Leicester selepas 24 perlawanan. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA