Kanopi pasar malam musnah dilanda ribut di Miri

Kanopi pasar malam musnah dilanda ribut di Miri

MIRI, 28 Jun (Bernama) – Peniaga pasar malam Saberkas berdepan saat cemas selama 30 minit apabila ribut dan angin kencang melanda sehingga menerbangkan tujuh kanopi kanvas dalam kejadian 7:30 malam tadi.

Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Malam Saberkas Miri, Abdul Rahman Jawawi berkata walaupun tiada kemalangan jiwa berlaku namun kejadian tersebut amat menakutkan kerana pertama kali berlaku sehingga menyebabkan tujuh kanopi bernilai RM56,000 diterbangkan ribut dan angin kencang itu.

“Kanopi kanvas itu dipasang tiga tahun lepas oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) dengan kos RM8,000 setiap satu, saya berharap MBM dapat menggantikan kanopi baharu dengan segera,” katanya kepada Bernama hari ini.

Aziz berkata kerosakan kanopi tersebut menyebabkan 42 peniaga makanan dan minuman terjejas pendapatan.

Pasar malam Saberkas dibuka setiap malam Rabu hingga Sabtu dan beroperasi pada sebelah petang setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

Ia adalah lokasi paling popular di bandar raya ini, menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan luar terutama dari Brunei.