Kanser pembunuh nombor satu

Kanser pembunuh nombor satu

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Feb – Di Negara Brunei Darussalam, penyakit kanser tersenarai sebagai penyebab utama kematian tertinggi selain penyakit jantung, diabetes, strok dan penyakit pernafasan akut kronik sejak tiga tahun kebelakangan yang mana sebanyak 21.1 peratus kematian pada 2013 berpunca daripada penyakit kanser.

Statistik Kementerian Kesihatan juga menunjukkan bahawa dalam lima tahun kebelakangan, lima jenis kanser yang lazim berlaku dalam kalangan lelaki dewasa ialah kanser kolorektum, kanser paru-paru, kanser prostat, kanser hati dan kanser nasopharynx.

Manakala dalam kalangan wanita, lima jenis kanser yang lazim berlaku ialah kanser payu dara, kanser kolorektum, kanser serviks, kanser paru-paru dan kanser ovari.

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Dr. Hajah Norhayati binti Haji Mohd Kassim semasa menyampaikan ucapan bagi wakil Pengarah Umum Kementerian Kesihatan, Dr. Zainal Ariffin bin Haji Yahya semasa Forum Awam bersempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2016 telah diadakan di Pusat Promosi Kesihatan, pagi tadi.

Jumlah peratus kematian yang agak tinggi ini amat membimbangkan, sekali gus memberikan impak negatif kepada perkembangan sosioekonomi keluarga dan kesudahannya menjadi bebanan negara untuk menanggung kos perubatan yang semakin meningkat.

Forum awam sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2016 di Pusat Promosi Kesihatan.
Forum awam sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2016 di Pusat Promosi Kesihatan.
Dr. Hajah Norhayati semasa menyampaikan ucapan  sebagai wakil Pengarah Umum Kementerian Kesihatan.
Dr. Hajah Norhayati semasa menyampaikan ucapan sebagai wakil Pengarah Umum Kementerian Kesihatan.
Antara bahan  yang dipamerkan sempena Hari Kanser Sedunia.
Antara bahan yang dipamerkan sempena Hari Kanser Sedunia.

Bagi meningkatkan kesedaran dan memperingati orang ramai mengenai penyakit kanser, Pusat Promosi Kesihatan dengan kerjasama Pusat Kanser Brunei mengadakan forum awam berkenaan dengan mengetengahkan beberapa ahli panel.

Ahli-ahli panel terdiri daripada Pakar Onkologi Pusat Kanser Brunei, Dato Seri Laila Jasa Dr. Babu Sukumaran; Konsultan Onkologi Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Ketua Unit Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Tidak Berjangkit, Profesor Madya Dr. Haji Muhd Syafiq bin Abdullah serta seorang pesakit kanser kolorektal, Pengiran Hajah Rokiah binti Pengiran Abdullah.

Dr. Hajah Norhayati menjelaskan, forum awam ini merupakan satu landasan untuk Kementerian Kesihatan menyebarluaskan mesej kesihatan kepada semua lapisan masyarakat yang mana penyakit kanser boleh dicegah dan dirawat di peringkat awal.

Forum ini memberikan peluang kepada orang ramai untuk mendengar penerangan daripada ahli-ahli panel yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang berkaitan dengan kanser. Di samping itu, para hadirin juga dapat mengambil iktibar yang bermanfaat dengan mengetahui kisah salah seorang pesakit kanser kolorektal peringkat ketiga, Pengiran Hajah Rokiah.

Selain mengadakan forum, aktiviti-aktiviti lain seperti pameran Hari Kanser Sedunia dan pemeriksaan payudara secara percuma juga diadakan sempena Hari Kanser Sedunia 2016.

Forum dengan tema ‘Kitani Boleh, Saya Boleh’ itu diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai cara-cara mengurangkan bebanan global kanser pada peringkat masyarakat dan individu.

Dengan adanya forum itu, Kementerian Kesihatan berharap agar orang ramai akan dapat mengambil manfaat ilmu yang berguna dalam menjalani kehidupan seharian dan seterusnya mengamalkan cara hidup yang lebih sihat bagi mengelakkan bebanan kepada ahli keluarga yang lain serta boleh meningkatkan lagi kualiti kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA