Kapal angkut sisa nuklear

Kapal angkut sisa nuklear

SYDNEY, 16 Okt (AFP) – Sebuah kapal yang membawa 25 tan sisa nuklear yang diproses semula dalam pelayaran ke Australia hari ini meskipun bantahan dari para aktivis tentang ‘bencana persekitaran yang bakal berlaku’.

BBC Shanghai berlepas meninggalkan Cherbourg, pelabuhan utara Perancis selepas mendapat kebenaran dari para pegawai tempatan, yang menjalankan pemeriksaan Rabu lalu, dan dijangka tiba menjelang akhir tahun ini di negeri New South Wales.

Ia membawa sisa-sisa radioaktif dari bahan api nuklear yang telah digunakan yang dihantar oleh Australia ke Perancis untuk diproses semula dalam empat penghantaran dalam tahun 1990-an dan awal 2000-an, menurut Pertubuhan Nuklear Sains dan Teknologi Australia (ANSTO) hari ini.

Pemprosesan semula melibatkan pembuangan uranium, plutonium dan bahan-bahan lain, dengan bahan-bahan yang tinggal stabil dalam kaca dan disimpan dalam satu kontena.

“Kontena itu akan diletakkan di atas kapal, dibawa ke pelabuhan Australia, dan kemudian kontena itu kemudian dibawa oleh lori ke Lucas Heights (tapak nuklear) dengan operasi keselamatan berpatutan,” menurut ANSTO dalam satu kenyataan.

Kapal kargo BBC Shanghai meninggalkan pelabuhan pada 15 Oktober di Cherbourg-Octeville. – AFP
Kapal kargo BBC Shanghai meninggalkan pelabuhan pada 15 Oktober di Cherbourg-Octeville. – AFP

“Kapal itu dipilih oleh syarikat nuklear di Perancis, Areva, dan selepas pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak berkuasa keselamatan marin Perancis dan pengatur keselamatan nuklear Perancis pada Rabu lalu (14 Oktober), kelayak layaran kapal itu disahkan dan diperakui.”

Greenpeace, kumpulan kempen persekitaran Perancis, Robin des Bois (Robin Hood) dan seorang ahli undangan penyokong persekitaran terkenal menggesa supaya penghantaran yang dihantar oleh Areva, dihentikan.

“Areva, hampir muflis, menggunakan kapal tong sampah untuk membawa sisa-sisa, tanpa sebarang pemeriksaan serius!” Dennis Baupin, ahli undangan kanan parti Perancis yang menyokong persekitaran, berkata melalui Twitter.

Greenpeace Australia Pasific berkata kapal itu – milik firma Jerman, BBC Chartering – adalah ‘bencana Australia yang bakal berlaku’ dengan mendakwa bahawa Shanghai telah ‘disenaraihitamkan’ oleh AS kerana rekod keselamatannya.