Kapal bantuan PBB tiba di Aden

Kapal bantuan PBB tiba di Aden

ADEN, 21 Julai – Sebuah kapal bantuan PBB (UN) berlabuh hari ini, di bandar pelabuhan Aden, Yaman, membawa bekalan bantuan yang sangat diperlukan selepas empat bulan pertempuran antara pemberontak dan pejuang setia.

Bantuan kemanusiaan itu tiba ketika angkatan setia kepada Presiden yang digulingkan, Abedrabbo Mansour Hadi meneruskan operasi untuk memperkukuhkan kawalan mereka ke atas bandar selatan.

“Ini merupakan bot pertama membawa bendera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlabuh di Aden sejak perang bermula” pada lewat Mac, kata gabenor Nayef al-Bakri memberitahu para wartawan di pelabuhan itu. Program Makanan Sedunia, yang mencarter kapal itu, telah cuba berulang kali untuk menghantar bantuan ke bandar pelabuhan namun gagal kerana kebimbangan keselamatan.

Gabenor mengatakan kapal lain, seperti sebelumnya yang membawa bantuan kemanusiaan dari Amiriah Arab Bersatu (UAE), juga dijangka tiba lewat hari ini. Kapal-kapal itu dihantar oleh UAE berjaya tiba di Aden pada Mei namun bukan di bawah bendera PBB.

Gencatan senjata kemanusiaan diumumkan oleh PBB awal bulan ini gagal untuk bertahan. WFP menggambarkan gencatan itu sebagai ‘harapan terakhir’ untuk menghantar bekalan yang sangat diperlukan. WFP telah menghantar bantuan menjelang gencatan senjata ke pelabuhan Hodeida yang dikawal pemberontak di barat Yaman, namun pemberontak tidak membenarkan konvoi bantuan untuk berkunjung ke Aden.

PBB telah memberi amaran pada ketika itu bahawa negara miskin itu ‘tidak lama lagi akan berdepan kebuluran’.

Lebih 21.1 juta orang – lebih 80 peratus daripada penduduk Yaman – memerlukan bantuan, dengan 13 juta lagi berdepan kekurangan makanan. PBB mengatakan konflik itu telah membunuh lebih 3,640 orang, separuh daripadanya orang awam, sejak lewat Mac.

Sejak beberapa minggu kebelakangan, pasukan setia kepada Hadi telah menawan semula kebanyakan kawasan Aden daripada pemberontak Huthi Syiah dan sekutu mereka. – AFP