Kapal China masuki Selat Taiwan

Kapal China masuki Selat Taiwan

TAIPEI, 11 Jan – Satu-satunya kapal induk pesawat udara China telah memasuki Selat Taiwan dalam pameran kekuatan simbolik, namun Taiwan menegaskan hari ini orang ramai tidak perlu berasa panik walaupun ketegangan meningkat mengenai status diplomatik pulau.

Beijing telah menambah latihan tenteranya berhampiran pulau berkenaan dalam beberapa minggu ini selepas berasa marah dengan panggilan telefon daripada presiden Taiwan Tsai Ing-wen untuk mengucapkan tahniah kepada presiden dipilih AS Donald Trump, dan persinggahan transit seterusnya oleh Tsai di Amerika Syarikat (AS).

China menganggap Taiwan sebagai wilayah memberontak yang perlu kembali ke pangkuannya. AS adalah sekutu pulau paling berpengaruh dan pembekal senjata utama, meskipun tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi sejak mengiktiraf Beijing pada 1979.

Kapal induk pesawat udara Lioaning belum memasuki perairan Taiwan tetapi memasuki satu kawasan yang diliputi oleh zon pertahanan udara pulau, kata kementerian pertahanan.

Beijing memberi respons bahawa ia adalah ‘sangat biasa’ bagi Liaoning untuk melintasi perairan antarabangsa sebagai sebahagian daripada latihan.

Tiga frigat berlabuh di pangkalan udara Keelung di utara Taiwan pada 11 Januari. – AFP
Tiga frigat berlabuh di pangkalan udara Keelung di utara Taiwan pada 11 Januari. – AFP

“Setiap tahun, pada musim ini, tentera laut China melakukan beberapa latihan berhampiran laut dan rantau maritim lain. Eksesais ini adalah bagi semua latihan,” kata naib menteri hal ehwal luar negeri, Liu Zhenmin.

Media Taiwan berkata jet pejuang F-16 dan pesawat udara lain dihantar pada malam semalam untuk mengawasi kumpulan kapal induk China. Kementerian pertahanan enggan mengesahkan laporan berkenaan.

Tsai, yang pada masa ini dalam lawatan ke Amerika Tengah, sering mengarahkan pasukan keselamatan kebangsaan dan kementerian pertahanan menerusi telefon, kata jurucakap pejabat presiden, Alex Huang.

“Tentera sedang mengawasi seluruh situasi dan akan bertindak sewajarnya. Kami menggesa penduduk Taiwan supaya jangan berasa risau,” katanya dalam satu kenyataan.

“Tidak perlu berasa panik,” kata pengerusi Majlis Hal Ehwal China Taiwan (MAC), yang mengendali hubungan pulau dengan Beijing.

“Majlis keselamatan negara memahami situasi. Kami sedang melakukan apa yang wajar,” beritahu Chang Hsiao-yueh kepada wartawan pada taklimat akhir tahun.

“Kerajaan mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk mempertahankan keselamatan negara kami,” tambah beliau.

Pakar berkata latihan kapal induk terpakai Liaoning, buatan Soviet, adalah ‘simbolik’ dan bukannya ancaman tentera sebenar.

Liaoning telah melancarkan latihan pertamanya di Pasifik dan telah pun melalui kawasan selatan Taiwan pada bulan lalu.

Ia memasuki barat daya zon pengenalan pertahanan udara Taiwan (ADIZ) pada 07:00 waktu tempatan hari ini, kata kementerian pertahanan, bersama kapal pengiring.

Pada tengah hari, ia sedang bergerak ke utara di sepanjang pantai China, kata kementerian. “Tidak adanya aktiviti tentera laut atau udara yang luar biasa buat masa sekarang,” tambahnya. – AFP