Kapal Jepun berlabuh di Filipina

Kapal Jepun berlabuh di Filipina

ZON PELABUHAN BEBAS SUBIC BAY, Filipina, 3 April (AFP) – Dua kapal pembinasa Jepun dan sebuah kapal selam berlabuh di sebuah pelabuhan Filipina hari ini berhampiran perairan Laut China Selatan, di mana tingkah laku Beijing yang semakin bersifat pendesak telah mencetuskan kebimbangan global.

Manila berusaha memperkukuh hubungan dengan Tokyo tatkala ketegangan meningkat mengenai jalan air yang dipertikaikan itu, yang hampir kesemuanya dituntut oleh China.

Kapal selam Jepun Oyashio dan kapal pembinasa JS Ariake dan JS Setogiri berlabuh di pelabuhan Subic hari ini untuk lawatan rutin di bekas pangkalan tentera laut AS yang terletak 200 kilometer dari beting yang dikawal oleh China.

“Lawatan itu adalah tanda promosi keamanan dan kestabilan serantau dan peningkatan kerjasama laut di antara tentera laut negara jiran,” kata jurucakap Tentera Laut Filipina Komander Lued Lincuna.

Ariake dilengkapi dengan helikopter anti-kapal selam, menurut seorang jurugambar AFP di tempat kejadian.

Kapal selam Oyashio berlabuh di pelabuhan bekas pangkalan tentera AS di teluk Subic pada 3 April. – AFP
Kapal selam Oyashio berlabuh di pelabuhan bekas pangkalan tentera AS di teluk Subic pada 3 April. – AFP

Kunjungan ke pelabuhan diadakan sehari sebelum latihan perang antara tentera Amerika Syarikat dan Filipina di Filipina, yang dilihat sebagai satu pertunjukan gabungan tentera lama yang diharapkan oleh Filipina untuk menghalang China.

Filipina telah beralih kepada sekutu seperti Amerika Syarikat dan Jepun untuk mempertingkat angkatan bersenjatanya dalam beberapa tahun ini.

Pada Februari, Jepun bersetuju untuk membekalkan Filipina dengan perkakasan tentera, yang mungkin termasuk pesawat udara pengawasan anti-kapal selam dan teknologi radar.

Ketegangan di Laut China Selatan, di mana satu pertiga daripada minyak dunia melaluinya, telah meningkat dalam beberapa bulan ini sejak China mengubah terumbu kepada pulau tiruan yang berupaya menyokong kemudahan tentera.

Selain daripada Filipina, Vietnam, Brunei, Malaysia dan Taiwan juga mempunyai tuntutan bertindih.

ARTIKEL YANG SAMA