Kapal kargo Hanjin mula turunkan muatan

Kapal kargo Hanjin mula turunkan muatan

LONG BEACH, California, 11 Sept – Sebuah kapal kontena Hanjin yang terkandas di pantai California selama lebih dua minggu mulai menurunkan muatan semalam selepas seorang hakim melindungi aset syarikat perkapalan global itu daripada dibeku di AS tatkala ia bergelut untuk mengelak kemuflisan.

Kapal Hanjin Greece sepanjang 1,145 kaki itu mulai memunggah bertan-tan pakaian diimport, elektronik, perabot dan barangan plastik, kata jurucakap Pelabuhan Long Beach Lee Peterson.

“Ia adalah berita baik untuk pemilik kargo dan pengguna Amerika, tepat pada masanya untuk musim percutian membeli-belah,” kata ketua pegawai komersial pelabuhan Noel Hacegaba dalam satu kenyataan.

Greece adalah satu daripada empat kapal yang dihalang daripada memasuki atau meninggalkan pelabuhan selepas Hanjin memfail perlindungan kemuflisan pada 31 Ogos di Korea Selatan dan AS pada 2 September. Pemiutang enggan menawarkan sebarang bantuan kewangan.

Kapal Hanjin yang terkandas di pantai California selama lebih dua minggu mulai menurunkan muatan kelmarin. – AP
Kapal Hanjin yang terkandas di pantai California selama lebih dua minggu mulai menurunkan muatan kelmarin. – AP

Berpuluh-puluh kapal di seluruh dunia terkandas disebabkan Hanjin tidak dapat menampung bil minyak atau jaminan bahawa pekerja dok, operator kren, kapten kapal tunda dan yang lain akan dibayar untuk perkhidmatan mereka. Kapal tersebut dilaporkan mengandungi barang-barang bernilai kira-kira AS$14 bilion.

Gangguan itu telah menyebabkan kadar perkapalan laut meningkat dan meninggalkan peruncit utama bergegas untuk mengusahakan pelan kecemasan untuk menghantar barangan mereka ke kedai.

Beberapa kapal dirampas bagi pihak pemiutang, termasuk Hanjin Montevideo, yang gagal meninggalkan California Selatan selepas pemunggahan. Dua pembekal mendakwa Hanjin berhutang mereka kira-kira AS$775,000 untuk minyak dalam tangki kapal. – AP

ARTIKEL YANG SAMA