Kapal minyak terbakar di Teluk Mexico

Kapal minyak terbakar di Teluk Mexico

Mexico CITY, 26 Sept – Satu kebakaran besar berlaku di atas sebuah kapal tangki bahan api yang dimuatkan dengan ribuan tong minyak di atasnya telah berjaya dipadamkan kelmarin selepas lebih 24 jam terbakar, tanpa tumpahan minyak, kata syarikat minyak milik negara Mexico.

Seramai 31 anak kapal daripada kapal tangki minyak Pemex Burgos selamat dan berjaya dipindahkan. Kapal, yang terbakar tidak jauh dari bandar pelabuhan timur Veracruz, telah membawa lebih 160,000 tong diesel dan petrol.

Pemex, tentera laut dan krew lain bekerja keras untuk memadamkan api tersebut. Peralatan dan kakitangan dikerahkan dari seluruh negara, dan Pemex juga meminta bantuan daripada penasihat kawalan kebakaran dari Houston, Texas.

Jurucakap Pemex, Israel de la Pena memberitahu AFP bahawa kebakaran itu berjaya dipadamkan lewat kelmarin, namun kira-kira 100 orang pekerja bantuan kecemasan masih memantau kapal tangki tersebut. Terdahulu, pegawai pemadam kebakaran dari tentera laut, Antonio Chedraui berkata bahawa terdapatnya api di atas air, “tanda bahawa adanya kebocoran minyak.”

Kapal tangki minyak Burgos terbakar di luar pantai bandar pelabuhan Boca del Rio, Mexico, kelmarin. – AP
Kapal tangki minyak Burgos terbakar di luar pantai bandar pelabuhan Boca del Rio, Mexico, kelmarin. – AP

Tetapi CEO Pemex, Jose Antonio Anaya menafikan adanya kerosakan alam sekitar. Kapal itu “mempunyai badan mampu menghalang bahan api yang dibawa daripada tertumpah,” kata Anaya pada sidang akhbar.

Beliau berkata pihak berkuasa alam sekitar mendapati tiada tumpahan di Teluk Mexico. Kira-kira 70,000 liter cecair berbuih dan 3,200 meter (10,500 kaki) penghalang tumpahan minyak telah disediakan jika bahan api itu telah tertumpah ke dalam laut, menurut Anaya.

Ia tidak segera memberitahu punca kebakaran tersebut. Chedraui berkata ia mengambil masa empat jam untuk mendapatkan buih khas kalis api ke kawasan kejadian, dan Pemex juga membuat tindakan perlahan dalam menyediakan halangan pembendungan terapung untuk mengelakkan tumpahan daripada merebak. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA