Kapal MV Sah Lian sudah ditemui

Kapal MV Sah Lian sudah ditemui

KUCHING, 10 Sept – Kapal MV Sah Lian yang dilaporkan hilang 7 Sept lepas semasa dalam perjalanan dari Kuching ke Limbang, sudah ditemui sekitar 26 batu nautika dari Tanjung Baram, Miri, petang ini.

Komander Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak ACP N Kalai Chelvan mengesahkan kapal yang ditemui jam 4.40 petang itu mengalami kerosakan enjin dan hanyut sehingga ke perairan Miri.

Beliau berkata pihaknya sudah menghubungi kapten kapal berkenaan yang memberitahu bahawa semua anak kapal berada dalam keadaan selamat, dan mereka sedang menunggu bantuan pembaikan daripada syarikat berkenaan.

“Mereka tidak memerlukan bantuan lain, dan kapal berkenaan akan ditunda terus ke Limbang, dengan alasan mereka bimbang kargo yang dibawa akan rosak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya keadaan laut di kawasan kapal itu ditemui didapati agak berjerebu, dengan jarak penglihatan sekitar dua batu nautika.

Sementara itu Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit dalam sidangan media di Ibu Pejabat APMM Wilayah Sarawak di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (Komtas) di Muara Tebas petang tadi berkata pemilik kapal itu memberitahu mereka dihubungi oleh sebuah kapal kargo yang ternampak Sah Lian jam 10.45 malam tadi. – Bernama