Kapal perang AS cetus kemarahan China

Kapal perang AS cetus kemarahan China

WASHINGTON/BEIJING, 27 Okt (Reuters/AFP) – Tentera Laut Amerika Syarikat menghantar kapal pemusnah peluru berpandu ke kawasan dekat dengan pulau buatan China di Laut China Selatan hari ini, tindakan yang menerima kecaman dari Beijing serta berkata ia merupakan ‘ancaman kepada kedaulatan China.’

Rondaan oleh Kapal USS Lassen itu merupakan satu cabaran paling penting Amerika terhadap had wilayah 12 batu nautika yang China kenakan di sekitar pulau-pulau di Kepulauan Spratly, dan boleh mencetuskan ketegangan di salah satu laluan laut paling sibuk di dunia.

Seorang pegawai pertahanan Amerika Syarikat berkata, Kapal USS Lassen belayar dalam kawasan 12 batu nautika dari Terumbu Subi.

Seorang lagi berkata misi itu, yang berlaku beberapa jam, merangkumi juga Terumbu Mischief dan yang pertama dalam siri latihan kebebasan belayar yang bertujuan menguji tuntutan wilayah China.

Kapal USS Lassen semasa latihan pada Mac lalu di Semenanjung Korea. Ia telah melakukan rondaan berhampiran pulau buatan China di Laut China Selatan bagi menekankan pendirian Amerika Syarikat kepada China tentang peri penting aliran bebas perdagangan di laut itu. - Reuters
Kapal USS Lassen semasa latihan pada Mac lalu di Semenanjung Korea. Ia telah melakukan rondaan berhampiran pulau buatan China di Laut China Selatan bagi menekankan pendirian Amerika Syarikat kepada China tentang peri penting aliran bebas perdagangan di laut itu. – Reuters

Jurucakap Rumah Putih, Josh Earnest, merujuk sembarang pertanyaan mengenai operasi khusus kepada Pentagon, tetapi berkata Amerika telah menjelaskan kepada China peri penting aliran bebas perdagangan di Laut China Selatan. Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China Lu Kang dalam satu kenyataan berkata, USS Lassen “memasuki secara haram perairan” berhampiran pulau, “tanpa menerima kebenaran daripada kerajaan China.”

“China menentang mana-mana negara yang menggunakan kebebasan pengemudian dan penerbangan sebagai dalih untuk menjejas kedaulatan negara dan kepentingan keselamatan China,” kata Lu sambil menambah bahawa China akan mempertahan kedaulatan wilayahnya dan bertindak balas terhadap mana-mana tindakan provokatif sengaja ke atas negaranya.