Kapal ‘Rafelia II’ karam di perairan Bali

Kapal ‘Rafelia II’ karam di perairan Bali

JAKARTA, 4 Mac (Bernama) – Kapal ‘Rafelia II’ yang membawa 71 penumpang, anak kapal dan 25 kenderaan pelbagai jenis termasuk dua trak besar, dilaporkan karam di perairan Ketapang, dekat Bali, pada pukul 01:30 tengah hari ini.

Wahyu Endriawan, jurucakap Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL) di Banyuwangi, berkata kesemua penumpang berjaya diselamatkan. Mereka kini berada di pejabat syarikat pemilik kapal itu, PT Angkutan Sungai Danau dan Penyeberangan (ASDP), katanya yang dipetik media dalam talian tempatan.

Beliau berkata Pangkalan TNI Angkatan Laut Banyu-wangi, Jawa Timur telah mengerahkan dua kapal peronda untuk membantu mangsa Rafelia II sebaik menerima laporan mengenai insiden terbabit. Beberapa penumpang sebelum itu diselamatkan oleh bot-bot nelayan yang berada di kawasan tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kebocoran pada kapal itu dan menurut laporan, ketika kejadian, Rafelia II baru saja berlepas dari Pelabuhan Gilimanuk, Bali menuju Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi di Jawa Timur.