Kapal selam Korea U beri ancaman

Kapal selam Korea U beri ancaman

SEOUL, 4 Mei (AFP) – Imej satelit baru-baru ini menunjukkan Korea Utara sudah menyelesaikan pengubahsuaian luaran limbungan kapal khusus untuk membina dan melancar kelas baru kapal selam peluru berpandu balistik, kata kumpulan pemikir Amerika Syarikat hari ini.

Walaupun kapal berkenaan tidak akan beroperasi sebelum 2020, usaha rejim itu membina sistem peluru berpandu balistik dilancar dari kapal selam (SLBM) “menunjukkan kemajuan”, menurut Institut Amerika-Korea di Universiti Johns Hopkins.

Keupayaan SLBM meningkatkan ancaman nuklear Korea Utara ke satu tahap baru, membolehkan ia dikerah jauh melepasi semenanjung Korea dan berpotensi membalas serangan nuklear.

Bulan lalu, satu daripada kapal selam ujian kelas GORAE Korea Utara mengadakan ujian SLBM di Laut Timur, melancarkan peluru berpandu yang terbang sejauh 30 kilometer.

Korea Selatan menyifatkan ujian itu gagal apabila ia meletup tetapi penganalisis di Institut Amerika Korea berkata ia sebenarnya berjaya.

“Ia mungkin sengaja dihadkan, memberi tumpuan kepada sistem pelancaran kapal selam, turutan penyalaan peluru berpandu dan operasi garis panduan awal berbanding ujian operasi sepenuhnya,” kata institut itu, meramalkan pelancaran serupa tahun ini sebelum ujian penerbangan sepenuhnya.

Gambar satelit bertarikh 28 April, lima hari selepas ujian, menunjukkan aktiviti penyelenggaraan selepas pelancaran dilakukan dalam kapal selam itu di limbungan Sinpo Selatan.

Ia juga menunjukkan tugas luar di dewan pembinaan limbungan kapal selam itu sudah selesai, dan landasan kapal baru akan dilancarkan juga hampir siap.

Korea Selatan merasa bimbang dengan pembangunan SLBM Utara, dan menteri pertahanan, Han Min-Koo memberi amaran semalam bahawa Seoul telah lambat untuk bertindak balas.

ARTIKEL YANG SAMA