Kapal tempur ...

Kapal tempur AS singgah di Brunei

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Kapal tempur Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Coronado singgah di negara ini dalam kunjungan singkat bagi latihan dengan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).

Semasa persinggahan tersebut Kedutaan Amerika Syarikat di Brunei telah mengundang wakil-wakil media untuk melihat lebih dekat kapal tersebut yang pada masa ini sedang berlabuh di Pelabuhan Muara.

Lawatan media ke kapal tersebut dikepalai oleh Pegawai Pemerintah kapal berkenaan, Komander Scott Larson.

Menurut Komander Scott Larson, salah satu kelebihan Kapal USS Coronado berbanding dengan kapal perang lain ialah kemampuannya berlayar di perairan cetek.

Menurut beliau, LCS terbahagi kepada dua kelas,’ Independence’ dengan reka bentuk trimaran (mempunyai tiga badan yang disambung selari) dan ‘Freedom’ yang bentuknya lebih konvensional dan USS Coronado termasuk dalam kelas ‘Independence’.

Sesi bergambar ramai antara anak-anak Kapal USS Coronado LCS 4 bersama para media.
Sesi bergambar ramai antara anak-anak Kapal USS Coronado LCS 4 bersama para media.
Komander Scott Larson ketika menjelaskan mengenai ruang kawalan sistem kapal berkenaan.
Komander Scott Larson ketika menjelaskan mengenai ruang kawalan sistem kapal berkenaan.

Kapal USS Coronado merupakan kapal tempur pesisir (LCS 4 – Littoral Combat Ship) dan juga kapal Tentera Laut AS yang ketiga menggunakan nama Coronado.

Menurut Komander Scott Larson lagi, kapal berkenaan merupakan kapal tempur pesisir yang kedua yang menampilkan badan kapal trimaran yang inovatif dan mantap.

Para media telah dibawa melawat ke tempat-tempat yang aktif digunakan oleh anak-anak kapal berkenaan, termasuk ruang kawalan sistem persenjataan.

Kapal USS Coronado mempunyai ruang kawalan sistem yang dikendalikan melalui perangkat komputerisasi yang canggih.

Terdahulu, media-media telah dibawa ke ruang misil kapal berkenaan yang luas, dan selain itu diperkenalkan dengan helikopter serta helikopter dron mereka, dibawa melawat ke tempat dek pendaratan helikopter dan juga diterangkan mengenai pelancar peluru berpandu iaitu salah satu ciri-ciri yang ada di kapal berkenaan.

Komander Scott Larson menjelaskan bahawa Kapal USS Coronado merupakan kapal pertama yang menggunakan ‘fire scout’ yang digunakan untuk mengesan kawasan sekeliling yang boleh digunakan bagi misi pencarian dan penyelamat.

“Reka bentuk LCS 4 mempunyai dek penerbangan dan hangar yang cukup besar dengan kemahiran istimewa yang boleh digunakan bagi menghantar bekalan yang lebih banyak bagi sebarang misi bantuan berbanding dengan reka bentuk kapal LCS yang sebelum ini,” tambah Komander Scott Larson lagi.

Beliau menjelaskan, kehadiran mereka di Brunei adalah lawatan sementara bagi menjalani latihan dengan TLDB dan pada masa ini, mereka telah ditugaskan ke Singapura bagi penempatan bergilir yang dijadual bagi kawasan Indo-Asia-Pasifik.

ARTIKEL YANG SAMA