Kapang gergas...

Kapang gergasi ditemui di Filipina

MANILA, 19 April – Seekor cacing hitam besar yang digelar kapang (gambar), tinggal dalam lumpur di dasar laut dan hidup dengan memakan saki baki gas berbahaya yang dihadam oleh bakteria telah didedahkan oleh para ahli sains buat pertama kalinya.

Kapang gergasi melekit dan lembik itu boleh membesar sehingga 155 sentimeter panjang, meskipun menjalani kehidupan setempat dalam mendapan lautan dan yang tidak memakan yang lain selain hanya produk sisa mikro-organisma yang hidup dalam insang.

“Kami berasa sangat kagum. Ini adalah kali pertama kami melihat kapang sebesar sebegini. Kebiasaannya ukuran cacing kapang hanyalah ukuran batang mancis dan berwarna putih,” ahli biologi marin Filipina, Julie Albano memberitahu AFP.

Kapang bukanlah sebenarnya cacing, tetapi dwicangkerang – seperti kupang dan kima dan memiliki kulitnya sendiri yang seperti gading dan rapuh.

Juga dikenali dengan nama saintifik Kuphus Polythalamia, moluska ini secara radikal berbeza daripada kapang lebih kecil yang juga dalam kumpulan keluarganya, yang mengorek dan menghadam kayu.

Para penyelidik yang menganalisis haiwan ini mendapati bahawa meskipun ia mempunyai sistem penghadamannya sendiri, sistemnya itu lebih kecil dan sebahagian besarnya berlebihan.

Sebaliknya, Kuphus Polythalamia bergantung pada bakteria yang tinggal dalam insangnya, yang menghadam hidrogen sulfida – gas yang berbau seperti telur reput – dari lumpur dan mengeluarkan kesan-kesan karbon.

Proses itu ialah fotosintesis dalam tumbuhan, yang mana ia mengambil karbon dioksida daripada udara, menggunakan karbon untuk membesar dan mengeluarkan oksigen sebagai keluaran sampingan.

“Kami menjangka kapang besar secara radikalnya berbeza dari kapang lain yang memakan kayu.

“Menemukan haiwan ini telah mengesahkan hal itu,” kata Margo Haygood, seorang profesor penyelidikan di Universiti Utah yang juga turut serta dalam kajian itu. Penemuan kapang besar ini, spesies yang tidak pernah dikaji sebelum ini, menandakan buat pertama kali para ahli sains mengkaji spesimen hidup, menurut artikel yang disiarkan minggu ini dalam jurnal Amerika, Proceedings of National Academy of Sciences.

Menurut jurnal itu lagi, spesies-spesies hebat itu akan terus dijelaskan dan dihuraikan sepenuhnya.

Albano berkata kapang gergasi itu ditemui di pantai bandar Kalamansig di selatan wilayah Sultan Kudarat dan bakterianya kini sedang dikaji bagi kemungkinan untuk kegunaan farmaseutikal. – AFP