Kapten All Blacks terima anugerah tertinggi

Kapten All Blacks terima anugerah tertinggi

WELLINGTON, 31 Dis (AFP) – Kapten All Blacks, Richie McCaw menerima anugerah tertinggi New Zealand, Order of New Zealand yang menyaksikannya diiktiraf ‘sebagai individu yang dihormati’.

Lebih manis, pengumuman mengenai senarai penerima anugerah tertinggi itu dibuat sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-35, hari ini.

Selepas McCaw mengetuai All Blacks menjuarai Ragbi Piala Dunia di England Oktober lalu, yang menjadikan mereka pasukan pertama menjulang trofi berprestij itu dua kali berturut-turut (2011 dan 2015), ramai penduduk negara berkenaan termasuk Perdana Menteri, John Key menyifatkan McCaw memang layak mendapat pengiktirafan itu.

Namun pemain yang dinobatkan Pemain Terbaik Dunia sebanyak tiga kali itu berkata, beliau kurang selesa untuk dipanggil dengan gelaran ‘Sir Richie’.

Anugerah itu adalah yang paling tinggi dalam sistem negara berkenaan yang diberikan terhad kepada hanya 20 orang dalam satu masa sebagai pengiktirafan atas khidmat cemerlang mereka.

McCaw muncul penerima termuda, mengatasi bekas Perdana Menteri yang juga Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia, Mike Moore yang berusia 50 tahun ketika menerima anugerah berkenaan.

McCaw yang bersara selepas berakhirnya Piala Dunia menyifatkan dirinya sebagai “seorang budak lelaki biasa yang mendapat keistimewaan untuk dianugerahkan Order of NZ.”

ARTIKEL YANG SAMA