Karadzic dihukum penjara 40 tahun

Karadzic dihukum penjara 40 tahun

Karadzic profileTHE HAGUE, 24 Mac (AFP) – Bekas pemimpin Serb Bosnia, Radovan Karadzic, hari ini didapati bersalah oleh Hakim Jenayah Perang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atas pembunuhan beramai-ramai dan dijatuhi hukuman penjara 40 tahun atas kekejaman paling teruk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Karadzic juga didapati bersalah atas sembilan pertuduhan lain termasuk pembunuhan dan penganiayaan, tetapi dalam satu tamparan kepada beribu-ribu mangsa ialah beliau dibebaskan daripada tuduhan pembunuhan beramai-ramai di tujuh bandar dan kampung-kampung Bosnia semasa perang 1992-1995.

Bekas pemimpin kejam kaum minoriti Serb Bosnia semasa perang Balkan 1992-1995, itu menghadapi tuduhan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan kerana peranannya dalam penyembelihan lebih 100,000 nyawa dan penyingkiran 2.2 juta orang lain. Karadzic akan menghadapi hakim di Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia (ICTY) pada 8 malam waktu Singapura bagi penghakiman bersejarah.

Bekas ahli psikiatri yang kini berusia 70 tahun itu akan menjadi ahli politik berprofil paling tinggi daripada Perang Balkan yang dihakimi, selepas bekas orang kuat Serbia, Slobodan Milosevic, mati dalam penjara di The Hague semasa perbicaraan pada 2006.

Karadzic dituduh mengambil bahagian dalam satu skim jenayah untuk ‘menghapuskan selama-lamanya penduduk Islam dan Croat Bosnia… dari kawasan yang didakwa sebagai wilayah Serb Bosnia’. Ini dilakukan melalui kempen kejam pembersihan etnik, pembunuhan sembarangan, penganiayaan dan keganasan, kata pendakwa ICTY, yang meminta hukuman penjara seumur hidup.

Karadzic yang ditangkap pada 2008 setelah sekian lama lari daripada pengadilan, diburu kerana peranannya dalam pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica, timur Bosnia, pada 1995. Hampir 8,000 lelaki dan kanak-kanak lelaki Islam disembelih dan mayat mereka dibuang ke dalam kubur besar oleh tentera Serb Bosnia, yang mengetepikan pasukan PBB dari Belanda di kawasan yang seharusnya menjadi ‘kawasan selamat’ itu.

Ia insiden paling teruk itu telah diputuskan sebagai pembunuhan beramai-ramai oleh dua mahkamah antarabangsa.

Karadzic juga dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di kawasan lain di seluruh Bosnia pada awal 1990-an. Dia juga dituduh, bersama pemimpin tentera Serb Bosnia, Ratko Mladic, yang menghadapi tuduhan sama, menjadi dalang pengepungan selama 44 bulan di Sarajevo di mana 10,000 orang awam mati dalam kempen tembak dan serangan tidak henti-henti.