Kareena mahu didik anak merendah diri

MUMBAI – Menjalani kehidupan mewah tidak bermakna aktres Bollywood, Kareena Kapoor, 36, akan memberikan kesenangan hidup sepenuhnya kepada anak sulung beliau, Taimur Ali Khan Pataudi.

Menerusi laporan dipetik dari Pinkvilla, wanita berkenaan mahu mengajar Taimur yang kini berusia sebulan menjadi seorang yang merendah diri dan tidak sombong biarpun memiliki ibu serta ayah yang dikenali ramai.

“Saya dan Saif (suami) sendiri dilahirkan dengan memiliki ibu bapa yang terkenal. Jadi kami tahu bagaimana media mahupun masyarakat begitu ingin tahu mengenai kehidupan saya dan suami. Oleh itu, kami mahu mengajar Taimur menjadi seorang yang sentiasa merendah diri, menjadi lelaki yang sederhana dan pada masa sama melakukan apa saja yang diinginkan tanpa mengabaikan perkara penting dalam hidupnya,” kata Kareena.

Kareena Kapoor dan anaknya, Taimur Ali.
Kareena Kapoor dan anaknya, Taimur Ali.

Tambah pelakon itu, pada zaman media sosial dengan golongan selebriti sering menjadi bahan bualan netizen turut membuatkan beliau mahu anaknya belajar lebih tenang agar tidak mudah melatah dengan segala komen dan kritikan yang diterimanya.

Sementara itu, ditanya adakah beliau akan mendidik si kecil dengan cara yang tegas apabila anaknya itu dewasa kelak, Kareena masih pasti mengenai cara didikan yang bakal digunakannya nanti.

“Tidak pasti pula bagaimana saya akan mendidik anak saya kelak. Paling penting, saya akan sentiasa mengawasi proses perkembangan Taimur. Memandangkan saya dan Saif bekerja, kami akan membahagikan masa untuk menjaganya,” ujarnya.