Karnival BruCERT peluang ketahui keselamatan maklumat

Karnival BruCERT peluang ketahui keselamatan maklumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT), turut tidak ketinggalan memeriahkan ekspo teknologi unggul Brunei, TechXpo 2015 yang sedang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, dengan mengadakan Karnival BruCERT.

Di karnival berkenaan, para pengunjung berpeluang mempelajari mengenai keselamatan maklumat dan keselamatan siber dengan hanya bermain permainan.

Karnival itu menawarkan empat jenis permainan dengan setiap satu bertujuan untuk mengajar para pemain mengenai pengajaran berguna, menurut kenyataan BruCERT di sini, hari ini.

Salah satu permainan itu ialah Dumpster Diving, yang mengajar orang supaya berhati-hati apabila membuang dokumen-dokumen, kerana sebilangan daripadanya seperti bil atau resit mengandungi maklumat peribadi yang sensitif dan boleh digunakan bagi pencurian identiti dan penipuan.

Pengunjung juga boleh mendapatkan Pemeriksaan Media Sosial untuk membincangkan sama ada mereka menggunakan media sosial dengan selamat.

Karnival BruCERT menarik hati pengunjung dengan mengadakan permainan yang turut memberi pengetahuan berguna.
Karnival BruCERT menarik hati pengunjung dengan mengadakan permainan yang turut memberi pengetahuan berguna.

Pemeriksaan ini bertujuan untuk mencegah orang ramai daripada menjadi mangsa pencurian identiti, pembuli siber, ‘online grooming’ atau ugutan dalam talian.

Sementara itu, aktiviti Think Before You Post menangani isu-isu perkongsian maklumat peribadi dalam talian secara berlebihan.

Password Challenge pula menggalakkan orang ramai untuk membuat kata kekunci yang lebih sukar digodam tetapi mudah diingati pengguna, dan pada penghujung karnival, orang yang membuat kata kekunci paling sukar akan memenangi GoPro HERO4. Pemenang akan diumumkan pada media sosial BruCERT (@BruneiCERT) di Instragram dan Facebook.

Penyertaan bagi kesemua permainan ini di Karnival BruCERT, di Dewan Plenari, adalah percuma dan pengunjung juga akan mendapat hadiah bagi setiap aktiviti.

Menurut kenyataan BruCERT, karnival ini merupakan salah satu daripada inisiatif kesedaran mereka, di samping mengadakan taklimat bagi sekolah-sekolah di seluruh negara dan menerbitkan program radio Cuver Safe di Pelangi FM dan sebagainya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keselamatan dalam talian dan keselamatan maklumat, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.SecureVerifyConnect.info.

ARTIKEL YANG SAMA