Karnival Bukit Sawat cungkil bakat belia

Karnival Bukit Sawat cungkil bakat belia

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 1 Jun – Dalam usaha untuk mencungkil bakat belia-belia dalam pengurusan acara dan aktiviti sukan, Majlis Perundingan Kampung Bukit Sawat telah menganjurkan Karnival Bukit Sawat 2015 di Taman Rekreasi Sungai Mau dekat sini.

Karnival yang dianjurkan bersama dengan belia-belia Kampung Sungai Mau Labi itu dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Shafiee bin Ahmad, selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Penghulu Mukim Liang, Haji Abdul Hamid bin Momin, Ketua Kampung Bukit Sawat, Awang Mohammad bin Abdullah serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Belait lainnya.

Sebanyak enam acara sukan diadakan sepanjang karnival berkenaan iaitu futsal, badminton, bola tampar, sepak takraw, bola jaring dan tarik kalat

Pengerusi karnival, Awang Mohd Zufri bin Mohd Bakhtiar dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, acara kemuncak karnival itu disertai oleh lima pasukan antaranya pasukan RPN Panaga, Mukim Labi, Jabatan Bomba Daerah Belait, Belia-belia Kampung Sungai Mau dan kakitangan Syarikat Kilang Papan Trisun.

Tetamu kehormat dan para jemutan lainnya menyaksikan pameran makanan tradisi sambil berpeluang merasanya.
Tetamu kehormat dan para jemutan lainnya menyaksikan pameran makanan tradisi sambil berpeluang merasanya.
Yang Berhormat Haji Shafiee (dua dari kanan) pada Majlis Karnival Bukit Sawat 2015.
Yang Berhormat Haji Shafiee (dua dari kanan) pada Majlis Karnival Bukit Sawat 2015.
Aksi Pasukan RPN Kampung Panaga dalam acara sukan tarik kalat sempena karnival berkenaan. – Faridah Haji Ibrahim
Aksi Pasukan RPN Kampung Panaga dalam acara sukan tarik kalat sempena karnival berkenaan. – Faridah Haji Ibrahim

Menurutnya lagi, acara turut dimeriahkan dengan sukan ria bagi penyertaan semua peringkat usia.

Penganjuran karnival ini antara lain bertujuan untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim antara para peserta dengan penduduk kampung dan pihak penganjur.

Selain itu, ia juga dihasratkan untuk membukakan minda orang awam tentang Bukit Sawat di peringkat daerah mahupun negara, dan untuk menambah perekonomian penduduk kampung dalam perniagaan dengan membukakan peluang berniaga di gerai karnival.

Karnival turut diceriakan dengan berbagai-bagai acara lain termasuk pameran masakan tradisi, pertandingan membuat sambal belacan dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA