Karnival Hari Keluarga bermula

Karnival Hari Keluarga bermula

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Karnival Hari Keluarga 2016 anjuran Majlis Perundingan Mukim Kilanas membuka tirainya yang berlangsung di Dewan Atrium, Airport Mall, Berakas, hari ini.

Hadir merasmikan karnival yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kilanas dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar.

Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan Ketua Kampung Kilanas, Haji Mohd Rais bin Haji Sabtu selaku pengerusi bersama majlis yang berkata, majlis itu adalah sebagai satu program pemangkin aktiviti perekonomian MPK Kilanas bagi mendapatkan sumber kewangan dan dana yang diperlukan.

“Kesepakatan bersepadu MPK Kilanas dengan pemaju pengendali MHG Event Management ke arah keberkesanan, pelaksanaan untuk sama-sama membawa, membimbing, membantu dan memberi khidmat pemikiran kepada seluruh pengusaha kecil dan sederhana untuk mengetengahkan dan mempromosikan Satu Kampung Satu Produk (1K1P), cara begini saja yang dapat diusahakan oleh MPK Kilanas, ke arah bersama menjayakan karnival hari keluarga 2016.”

Haji Muhammad Sunadi semasa merasmikan karnival petang tadi.
Haji Muhammad Sunadi semasa merasmikan karnival petang tadi.
Salah satu MPK yang menyertai karnival itu.
Salah satu MPK yang menyertai karnival itu.

Justeru itu, masyarakat dan pemaju, individu, syarikat di kampung berkenaan berprestasi cemerlang dan berketerampilan dalam bidang masing-masing iaitu bidang akli, bidang jasmani dan bidang rohani, tambah beliau.

Beliau menyeru para peniaga agar harta yang disediakan oleh Allah S.W.T hendaklah diolah, diurus dan dimanfaatkan selari dengan ajaran-ajaranNya kerana Allah S.W.T telah menyediakan syariat sebagai peraturan hidup manusia.

Karnival Hari Keluarga 2016 yang akan berlangsung selama lima hari sehingga 11 September itu menampilkan lebih 40 kotak pameran yang disertai oleh pelbagai pengusaha kecil dan sederhana serta majlis-majlis perundingan kampung di negara ini.