Karnival Jubli Emas PKMS dilancar

Karnival Jubli Emas PKMS dilancar

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Lebih 80 pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tempatan dan wilayah negara jiran, Sarawak, menyertai Karnival Jubli Emas Persatuan Kebajikan Melayu Semalaysia (PKMS) yang bermula hari ini hingga 1 Mei depan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

Perasmian karnival berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Yang Di-Pertua PKMS, Haji Azman bin Haji Sulaiman semasa berucap pada majlis itu menjelaskan, antara lain objektif karnival ini adalah untuk mengenang jasawan silam PKMS yang telah sama-sama membangunkan masyarakat berilmu, bermuafakat, berkemajuan dan berwawasan.

Di samping menjadi penerus hasrat murni ahli asal untuk kesinambungan tujuan murni generasi ulama dan umara dengan program ilmiah dalam aspek yang munasabah.

Tetamu kehormat ketika menyaksikan pameran petak jualan di Karnival Jubli Emas PKMS.
Tetamu kehormat ketika menyaksikan pameran petak jualan di Karnival Jubli Emas PKMS.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bergambar ramai bersama ahli jawatankuasa karnival tersebut.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bergambar ramai bersama ahli jawatankuasa karnival tersebut.

Beliau seterusnya melahirkan harapan agar ahli PKMS dapat kekal berwadah inovasi, berintegriti dan prihatin dalam bermasyarakat di Brunei Darussalam dan Malaysia seterusnya dapat menggembleng generasi berwawasan, berilmu dan intelektual dalam kehidupan dan pekerjaan seharian.

Karnival berkenaan juga diharap dapat menemukan pengusaha di Brunei dan Malaysia dalam aktiviti perekonomian di samping mengukuhkan pertalian silaturahim di antara warga Malaysia dan masyarakat Brunei.

Di samping petak-petak jualan, karnival berkenaan juga akan dimeriahkan dengan promosi produk daripada artis-artis Malaysia seperti Jaafar Onn, Adam Korrie, Deja Moss dan Mek Siti serta beberapa aktiviti lain termasuk cabaran ‘Teh Tarik’ dan cabutan bertuah.

Selepas menyempurnakan perasmian Karnival, Yang Berhormat Pehin juga berpeluang mengadakan lawatan ke petak-petak pameran.

ARTIKEL YANG SAMA