Karnival Kembara Islam 1437H kini kembali

Karnival Kembara Islam 1437H kini kembali

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Atas permintaan ramai, Karnival Kembara Islam 1437H kembali lagi pada tahun ini, yang akan diadakan pada 28 April hingga 1 Mei ini di Dewan Muhibah, Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, karnival pertama diadakan dua tahun lalu yang telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dan kini berikutan permintaan orang ramai Battle Pro Event menganjurkannya semula dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Karnival ini membawa konsep Islamik, memfokuskan ke atas aktiviti-aktiviti seperti Malam Cinta Rasul, pertandingan membaca Surah Al-Fatihah dan Azan bagi kanak-kanak berusia 11 tahun ke bawah.

Selain daripada itu, forum khas mengenai keusahawanan juga akan diadakan dengan mengetengahkan usahawan-usahawan muda tempatan. Pada hari terakhir pula, cabutan bertuah akan diadakan bagi para pengunjung yang menghadiri karnival berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, objektif karnival adalah untuk memperingati Israk dan Mikraj serta untuk berkongsi dengan orang ramai akan kecantikan Islam menerusi acara berkenaan.

Di samping aktiviti-aktiviti berkenaan, gerai-gerai jualan juga akan diadakan yang sepanjang karnival, sebagai platform terbaik bagi pengusaha-pengusaha tempatan untuk mengetengahkan produk-produk jualan mereka kepada orang ramai.

Produk-produk yang akan diketengahkan adalah sesuai dengan tema karnival itu sendiri, seperti ‘Makanan Sunah’, pakaian Muslim dan banyak lagi.

Battle Pro Event turut memaklumkan bahawa projek ‘Satu Baju Satu Senyuman’ juga akan diteruskan semasa karnival itu nanti berikutan sambutan yang sangat menggalakkan dan permintaan orang ramai.

Projek sebelumnya telah mengumpulkan sebanyak 597 pasang baju kurung atau cara Melayu untuk disumbangkan kepada anak-anak yatim, dan acara akan datang ini merupakan satu lagi peluang kepada orang ramai untuk beramal.

ARTIKEL YANG SAMA