Karnival Konvo Politeknik Brunei buka tirai

Karnival Konvo Politeknik Brunei buka tirai

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Karnival Konvo Politeknik Brunei sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei ke-2 Tahun 2016 membuka tirainya hari ini di Kawasan Letak Kereta, Jalan Bendahara (berhadapan dengan Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja) di mana ia akan berlangsung sehingga 19 Januari depan.

Perasmian karnival selama lima hari itu telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai.

Turut hadir ialah Pemangku Penolong Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar, ketua-ketua jabatan dan sekolah Politeknik Brunei, para pensyarah, pegawai dan kakitangan serta para pelajar Politeknik Brunei.

Karnival ini merupakan salah satu acara kemuncak dan acara tahunan bagi memeriahkan lagi Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei tahun ini bagi bakal graduan pengambilan ketiga.

Tetamu kehormat ketika merasmikan pembukaan karnival tersebut.
Tetamu kehormat ketika merasmikan pembukaan karnival tersebut.

Tahun ini, karnival membawa tema ‘Membudayakan Keusahawanan’ untuk menyahut saranan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menggalakkan rakyat negara ini terutamanya para belia berkecimpung dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Antara acara-acara yang telah diatur sepanjang karnival diadakan termasuk gerai-gerai jualan dan pameran serta persembahan-persembahan kebudayaan.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk hadir dan seterusnya memeriahkan lagi acara Karnival Konvo Politeknik Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA