Karnival Maritah Ke LLRC bermula

Karnival Maritah Ke LLRC bermula

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 9 Sept – Karnival Maritah Ke LLRC Siri Keenam 2015, anjuran Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC) membuka tirai hari ini, dengan mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik di samping hampir 60 petak jualan yang disediakan di kawasan kelab berkenaan.

Perasmian karnival lima hari berkenaan telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman selaku tetamu kehormat.

Dalam ucapannya, Haji Haris berkata acara seperti itu dapat memberikan peluang dan kesempatan kepada masyarakat mengisi masa lapang anak-anak semasa musim cuti sekolah pada masa ini dengan berkunjung dan melibatkan diri dalam acara-acara yang telah disusun oleh pihak penganjur, sekali gus dapat meraih pelbagai pengalaman, pengetahuan, pendidikan dan seumpamanya.

Beliau juga berkata, Jabatan Daerah Belait sentiasa mengalu-alukan inisiatif seperti itu, dalam erti kata lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat swasta daerah ini, adalah dialu-alukan untuk sama-sama berperanan memberi, menawarkan khidmat bakti atau perkhidmatan yang bermanfaat dan signifikan.

Haji Haris menendang bola ke pintu gol semasa merasmikan arena futsal.
Haji Haris menendang bola ke pintu gol semasa merasmikan arena futsal.
Haji Haris merasmikan Karnival Maritah Ke LLRC.
Haji Haris merasmikan Karnival Maritah Ke LLRC.
Pegawai Daerah Belait melawat petak jualan.
Pegawai Daerah Belait melawat petak jualan.
Aktiviti Flying Fox yang digemari kanak-kanak memeriahkan lagi karnival berkenaan.
Aktiviti Flying Fox yang digemari kanak-kanak memeriahkan lagi karnival berkenaan.

Di samping itu, dapat memberikan impak positif kepada peningkatan pembangunan sosioekonomi, budaya, alam sekitar dan teknologi kepada masyarakat setempat, yang dapat menjana semangat kasih sayang, kekeluargaan, kekitaan, silaturahim dan perpaduan, keselamatan serta kesejahteraan dalam berkehidupan di kalangan warga dan masyarakat di peringkat kampung dan mukim tanpa mengira bangsa, puak, kaum dan agama.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Tertinggi LLRC, Awang Azlan bin Haji Abdul Aziz dalam ucapan alu-aluannya pula menyatakan bahawa sejak penubuhan kelab itu, pelbagai inisiatif dan rancangan telah diatur dan dilaksanakan selaras dengan misi dan visinya khasnya dalam penglibatan dengan masyarakat setempat dan orang ramai.

Di samping itu, tambah beliau, LLRC juga telah mengambil langkah positif dalam memastikan kelab berkenaan masih lagi relevan terutama menarik minat masyarakat dan orang ramai mengunjungi serta menggunakan kemudahan yang disediakan.

Majlis berkenaan turut menyaksikan perasmian gelanggang futsal yang disediakan untuk kemudahan peminat sukan berkenaan.

Gelanggang tersebut mempunyai kawasan bermain yang lebih selesa dan berprestij, yang mana ia diharap akan dapat meningkatkan lagi kemunculan ahli-ahli sukan dalam permainan itu yang boleh ditonjolkan dalam perlawanan bukan saja peringkat kebangsaan malahan antarabangsa.

Karnival yang akan berlangsung sehingga 13 September itu, mengetengahkan gerai-gerai jualan makanan dan minuman di kawasan luar kelab, manakala itu, gerai pakaian, aksesori wanita, kraf tangan dan sebagainya pula disediakan di dalam dewan serba guna.

Selain itu, karnival yang dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu turut dimeriahkan dengan pameran daripada Maju Motor Sdn Bhd, NBT Brunei, Bouncer Ku serta beberapa perusahaan tempatan lainnya seperti Poni Divers dan Brunei Pet Kingdom dan sebagainya.

Antara aktiviti yang disediakan termasuk ATV Ride, Rollerball, Bouncer and Mascot, aktiviti futsal, Scuba Try Dive, Flying Fox dan sebagainya.

Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Sungai Liang turut menyertai pameran dengan mengetengahkan produk-produk kraf tangan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA