Karnival perikanan di Muara hingga 8 Nov

Karnival perikanan di Muara hingga 8 Nov

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Sektor perikanan yang terdiri daripada industri penangkapan ikan, industri akuakultur dan industri pemprosesan ikan mempunyai potensi untuk dikembang majukan secara mapan.

Ke arah meningkatkan penghasilan daripada sektor berkenaan dan untuk membantu pengusaha-pengusaha tempatan yang berkecimpung dalam bidang industri-industri berkenaan, Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan mengadakan Karnival Perikanan Sempena Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan 2015, yang berlangsung di Muara, bermula hari ini.

Karnival selama lapan hari hingga 8 November itu disertai seramai lapan pengusaha dalam bidang akuakultur, tujuh dalam industri tangkapan dan 14 dalam pemprosesan produk perikanan.

Ia merupakan salah satu usaha untuk membantu pengusaha-pengusaha perikanan untuk menonjolkan produk mereka kepada pengguna tempatan serta menunjukkan bahawa pengusaha tempatan juga mampu menghasilkan pelbagai produk perikanan yang berkualiti.

Salah seorang pengusaha tempatan pada jualan berkenaan, Haji Zaini, berkata beliau menyertai acara jualan itu pada setiap tahun dan menyaksikan sambutan orang ramai terus meningkat.

Orang ramai tidak melepaskan peluang berkunjung dan mendapatkan produk hasil perikanan semasa Karnival Perikanan Sempena Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan 2015.
Orang ramai tidak melepaskan peluang berkunjung dan mendapatkan produk hasil perikanan semasa Karnival Perikanan Sempena Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan 2015.

pg03_151102_b

Beliau yang sudah berkecimpung dalam industri penangkapan ikan dan jualan ikan sejak muda lagi berkata, pelbagai pengalaman telah ditimba dan menyaksikan perkembangan positif dalam industri perikanan tempatan.

Sepanjang acara jualan itu, beliau akan menawarkan ikan-ikan pada harga berpatutan dan di bawah harga jualan di pasar-pasar serta mengalu-alukan orang ramai untuk berkunjung ke acara jualan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan ikan-ikan segar dan produk perikanan dengan harga yang berpatutan di mana jualan adalah dibuka kepada semua pengunjung dari dalam dan juga luar negara.

Jualan itu bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang kecuali pada Jumaat yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 11 pagi dan bersambung semula dari pukul 2 petang hingga 5 petang.

Seperti jualan produk perikanan pada tahun-tahun yang lepas, kali ini ia juga mengetengahkan pelbagai hasil tangkapan yang segar dijual kepada para pembeli termasuk ikan, udang, ketam dan sotong.

Sementara itu, pengusaha akuakultur akan menjual ikan ternakan dari air laut termasuk ikan selungsong, pompano, kerapu dan juga barah-barahan. Manakala itu, pengusaha dalam sektor pemprosesan pula akan menjual produk-produk hasil perikanan seperti keropok, belacan, ikan salai, ikan kering dan lekor.

ARTIKEL YANG SAMA