Kasanova tipu 19 wanita diberkas

Kasanova tipu 19 wanita diberkas

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) – Seorang kasanova yang memperdaya 19 wanita untuk menyerahkan wang dan barang kemas bernilai RM150,000 sejak dua tahun lepas berjaya ditahan polis, Selasa lepas.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di kediamannya di Taman Cahaya Alam, Shah Alam dan polis turut merampas barang kemas dan telefon bimbit milik mangsa dengan kesemuanya bernilai RM70,000.

Difahamkan, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak menggunakan beberapa nama samaran serta menggunakan ‘ayat manis’ untuk menjerat mangsa daripada laman sosial Facebook.

Suspek didakwa sering menabur janji manis untuk berkahwin dengan mangsa sebelum memujuk mangsa menyerahkan wang simpanan dan barang kemas dengan alasan mahu dibuat wang hantaran perkahwinan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Sharul Othman Mansor berkata suspek menyasarkan wanita berkarier dalam lingkungan umur 28 hingga 38 tahun sebagai mangsa.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Shahrul Othman Mansor (2 kiri) dan pegawainya menunjukkan barang kemas yang dirampas daripada lelaki ‘kasanova’ pada sidang media, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Shahrul Othman Mansor (2 kiri) dan pegawainya menunjukkan barang kemas yang dirampas daripada lelaki ‘kasanova’ pada sidang media, kelmarin.

“Selepas berkenalan menerusi Facebook selama dua hingga tiga minggu, suspek kemudian akan mengajak mangsa untuk berjumpa di hotel sekitar Brickfields,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata sebaik sahaja mangsa menyerahkan wang simpanan dan barang kemas, mangsa akan dibawa berjumpa dengan ‘ahli keluarga’ suspek kononnya merancang untuk berkahwin.

Suspek juga dikatakan meminta mangsa meninggalkan barang peribadi dalam kereta dan apabila berjaya memperdayakan mangsa, suspek akan melarikan wang tunai dan barang-barang mangsa, katanya.

Sharul berkata polis menerima 19 laporan daripada mangsa yang diperdayakan suspek bermula Mac 2013 sehingga Jun 2015.

“Setakat ini, 10 mangsa berjaya mengecam suspek dan barang milik mereka. Kami juga akan memanggil mangsa lain yang terlibat untuk membantu siasatan dan mengecam barang milik mereka,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA