Kashmir bergolak lagi, sembilan maut 62 cedera

Kashmir bergolak lagi, sembilan maut 62 cedera

SRINAGAR, India, 28 Ogos – Pengawal sempadan India dan Pakistan berbalas tembakan di wilayah yang bergolak di Kashmir, mengakibatkan sembilan orang awam maut sementara 62 yang lain mengalami kecederaan, menurut pihak berkuasa hari ini.

Sementara itu, Simrandeep Singh, pentadbir setempat, menuduh pengawal-pengawal Pakistan melakukan tembakan provokasi senjata kecil dan mortar merentasi sempadan di sektor R.S. Pura lewat semalam.

Pengawal sempadan membalas tembakan, katanya, sambil menambah penduduk kampung India yang cedera telah dipindahkan ke hospital berdekatan.

Namun tiada ulasan terus daripada pihak Pakistan.

Ketegangan semakin memuncak di antara negara tersebut berikutan kebuntuan rundingan di antara kedua-dua penasihat keselamatan negara awal minggu ini disebabkan perbezaan pendapat mengenai Kashmir.

Anggota pengawal sempadan India sedang melakukan rondaan di sempadan negara itu dan Pakistan di wilayah Kashmir.
Anggota pengawal sempadan India sedang melakukan rondaan di sempadan negara itu dan Pakistan di wilayah Kashmir.

Gencatan senjata pada sempadan telah sebahagian besarnya diadakan di antara kedua-dua negara sejak 2003, namun pertempuran senjata api dan pertikaian sempadan merupakan sesuatu yang lazim.

Awal bulan ini, sekurang-kurangnya sembilan orang awam terbunuh dan beberapa lagi cedera. Rantau itu dibahagikan di antara negara-negara Asia Selatan tetapi dituntut oleh kedua-duanya.

India menuduh Pakistan memberikan senjata dan melatih pemberontak berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dari India atau penggabungannya dengan Pakistan, satu dakwaan yang dinafikan oleh Islamabad.

Lebih dari 68,000 orang telah terbunuh dalam keganasan itu.

India dan Pakistan telah bertempur dalam dua peperangan untuk mengambil alih Kashmir. – Reuters/Agensi