Kasih ibu ke hujung nyawa

Kasih ibu ke hujung nyawa

KUALA NERANG, Kedah, Malaysia, 7 Ogos (Bernama) – Warga emas berusia 101 tahun yang menjaga anak lelaki bongsunya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) meninggal dunia akibat sakit tua di rumah anak saudaranya di Kampung Bukit Nambua di sini awal pagi tadi.

Meliah Md Diah yang tidak mengalami sebarang penyakit kronik meninggal dunia kira-kira pukul 3.30 pagi di sisi anak lelakinya itu, Abdul Rahman Saud, 63, selepas mengadu sesak nafas.

Anak saudaranya Siti Jaleha Yunus, 59, berkata ibu saudaranya itu mengadu sesak nafas kira-kira pukul 7.30 malam ketika berada di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan rumah anak saudaranya itu.

Katanya, bimbang mengenai keselamatan warga emas itu, keluarganya mengambil keputusan membawa dua beranak itu untuk tinggal bersama mereka bagi memantau keadaan kesihatan Meliah.

“Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ketika berada di sisi anaknya. Kami sudah beritahu Abdul Rahman mengenai ibunya. Walaupun dia OKU tetapi dia faham dan mendiamkan diri sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

KASIH IBU….Gambar fail bertarikh 10 Mei 2015 menunjukkan warga emas berusia 101 tahun Meliah Md Diah (kanan) mencium anaknya Abd Rahman Saud, 63, yang juga orang kurang upaya (OKU). – Bernama
KASIH IBU….Gambar fail bertarikh 10 Mei 2015 menunjukkan warga emas berusia 101 tahun Meliah Md Diah (kanan) mencium anaknya Abd Rahman Saud, 63, yang juga orang kurang upaya (OKU). – Bernama

Gambar Meliah yang sedang memangku dan mencium anaknya yang disiarkan oleh Bernama baru-baru ini menjadi viral di laman sosial sehingga memperoleh lebih daripada sejuta ‘Like’.

Siti Jaleha berkata jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Kampung Nambua kira-kira pukul 3.30 petang ini.

Katanya, ibu saudaranya itu sempat menyuapkan makanan terakhir iaitu nasi goreng kepada Abdul Rahman.

Suri rumah yang mempunyai lima orang anak itu berkata selepas ini, mereka sekeluarga akan menjaga Abdul Rahman sama seperti mana Meliah menjaganya sehingga akhir hayatnya.

“Kalau saya meninggal dunia terlebih dahulu anak-anak saya akan menjaga Abdul Rahman,” katanya.