Kasih sayang rakyat, ketaatan terhadap raja

Kasih sayang rakyat, ketaatan terhadap raja

Oleh Salawati Haji Yahya & Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Istana Nurul Iman terus dibanjiri orang ramai pada hari kedua Majlis Istana Terbuka bagi berjunjung ziarah, yang membuktikan ketaatan dan kasih sa-yang rakyat dan penduduk negara ini terhadap raja yang dikasihi dan kerabat diraja yang lain.

Kemeriahan suasana Istana Nurul Iman hari ini semakin meriah apabila orang ramai mula membanjiri perkarangan istana seawal pukul 7.30 pagi.

Peluang berharga untuk menatap wajah pemimpin yang dikasihi bukan sahaja tidak dilepaskan oleh rakyat dan penduduk di negara ini malah turut diambil oleh pelancong luar dan warga asing yang bekerja di negara ini.

Seperti lazimnya, Majlis Terbuka Istana Nurul Iman dibuka untuk kunjungan orang ramai selama tiga hari bermula dari Hari Raya kedua hingga Hari Raya keempat.

Orang ramai yang mengunjungi Majlis Terbuka Istana Nurul Iman itu juga diberikan layanan istimewa dengan hidangan menyelerakan serta tempat duduk yang berhawa dingin dan selesa.

Orang ramai tanpa mengira usia, tidak melepaskan peluang untuk menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada hari kedua Istana Terbuka.
Orang ramai tanpa mengira usia, tidak melepaskan peluang untuk menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada hari kedua Istana Terbuka.

p04-2_20150721

Di samping itu, setiap tetamu juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila diberikan cenderahati sementara kanak-kanak pula diberi sampul hijau untuk menambah keceriaan mereka sempena Hari Raya Aidilfitri.

Dalam kesibukan ini juga, orang ramai turut dinasihatkan agar berpakaian kemas dan sesuai apabila hendak menghadap dan berkunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah serta kerabat yang lain.

Etika berpakaian ini telah pun ditentukan, yang mana cara-cara berpakaian ini sangat penting apabila rakyat dan penduduk serta para pelancong ingin memasuki Istana Nurul Iman.

Sebagai seorang umat Islam semasa berkunjung di Istana Nurul Iman hendaklah berpakaian menutup aurat dan pakaian yang dipakai haruslah sesuai dan penuh kesopanan.

Manakala itu, bagi para pelancong dan penduduk yang bukan beragama Islam pula dikehendaki berpakaian kemas seperti etika pakaian yang ditentukan.

ARTIKEL YANG SAMA