Kastam Labuan rampas barangan seludup lebih RM1 juta

Kastam Labuan rampas barangan seludup lebih RM1 juta

LABUAN, 28 Jan – Jabatan Kastam Diraja Malaysia cawangan Labuan berjaya merampas barangan seludup bernilai RM1.54 juta melibatkan cukai tidak dibayar berjumlah RM1.31 juta sepanjang tahun lepas.

Pengarahnya Wasimin Daiman berkata berikutan penguatkuasaan itu, pihaknya berjaya mendapat semula cukai berjumlah RM319,755.29 daripada barangan yang disita itu.

“Sepanjang tahun lepas, kami membuka 39 kertas siasatan, 27 kes penyitaan dan 12 kes tangkapan,” katanya pada sidang media bersempena sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-34 peringkat Labuan, di sini hari ini.

Wasimin berkata unit penguatkuasaan jabatan itu turut menjalankan sekurang-kurangnya lima operasi melibatkan 99 rondaan laut sebagai usaha membendung aktiviti seludup di sekitar perairan Labuan sepanjang tahun lepas. – Bernama