Kastam Labuan tumpas cubaan seludup dadah

LABUAN, 14 Feb – Kastam Diraja Malaysia bahagian Labuan menumpaskan cubaan menyeludup masuk enam kilogram heroin dan syabu bernilai kira-kira RM500,000 dari Mumbai, India.

Jabatan berkenaan dengan kerjasama polis bantuan Lapangan Terbang Labuan menjumpai dadah itu yang dimasukkan ke dalam 88 paket di dalam 44 dompet kecil yang dijahit semula, di dalam bagasi seorang penumpang warga India pada 10:50 pagi 9 Feb.

Pengarah Kastam Labuan Dr Mohamad Saprin berkata suspek yang berusia 35 tahun, menaiki penerbangan dari Mumbai dan menggunakan Lapangan Terbang Labuan sebagai pintu masuk untuk ke Kuala Lumpur.

“Rampasan dadah itu dibuat apabila kandungan bagasi penumpang terbabit didapati menimbulkan syak wasangka polis bantuan dan pegawai kastam di lapangan terbang, yang kemudian mengarahkan pemeriksaan menyeluruh,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu pada mulanya menaiki penerbangan dari Mumbai dan singgah di KLIA sebelum ke Labuan dan kemudian menaiki penerbangan domestik dari Labuan untuk kembali semula ke Kuala Lumpur, dengan harapan dapat mengelak saringan ketat pihak berkuasa. – Bernama