Kastam rampas dadah bernilai RM2.17 juta

Kastam rampas dadah bernilai RM2.17 juta

ALOR SETAR, 20 Jun (Bernama) – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah bernilai RM2.17 juta di sebuah makmal memproses dadah di Taman Sri Jaya, Ledang, Johor pada Jumaat lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zulkifli Yahya berkata serbuan dilakukan se-pasukan Kastam Kedah kira-kira pukul 5:15 pagi selepas melakukan intipan selama dua hari.

Beliau berkata hasil peme-riksaan dalam rumah tersebut mendapati serbuk kafein seberat 28.382 kilogram (kg), heroin (4.309 kg), methamphatamine (0.479 kg) dan ketamin (443 gram).

“Kita turut menemui 2,345 pil iaitu 695 biji ekstasi dan 1,650 pil eramin 5 serta pelbagai peralatan untuk memproses dadah. Kesemua dadah ditemui di ruang tamu dan bilik di tingkat atas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Kedah hari ini.

Katanya tiada tangkapan dilakukan berikutan sepanjang intipan selama dua hari itu serta tiada pergerakan individu yang keluar masuk ke rumah tersebut.

Zulkifli berkata pihaknya terpaksa memotong kunci mangga dan memotong pintu gril untuk masuk ke dalam rumah tersebut ketika serbuan dilakukan.

Katanya rumah tersebut hanya dijadikan tempat untuk menyimpan dan memproses dadah oleh sindiket dan dadah tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA